Keceriaan 10 anak yatim, asnaf sambut Aidilfitri

Iftar Untukmu LBS raikan golongan memerlukan di SK Seri Gambut

A
A
A

Sumbangan cek daripada LBS kepada guru SK Seri Gambut selepas selesai berbuka puasa.
Sumbangan cek daripada LBS kepada guru SK Seri Gambut selepas selesai berbuka puasa.

KUALA SELANGOR - Kedatangan 1 Syawal amat dinantikan kerana ia merupakan hari kemenangan kepada umat Islam selepas sebulan berpuasa pada bulan Ramadan, bulan yang mendidik diri untuk menjadi lebih baik dan menambahkan ketakwaan umat Islam.

Kemeriahan 1 Syawal diraikan oleh semua lapisan masyarakat dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Selain rumah dihias dengan cantik, pelbagai juadah istimewa akan dihidangkan seperti rendang, ketupat, lemang dan sebagainya. Hari Raya Aidilfitri juga merupakan hari bertemu saudara-mara, rakan taulan sekali gus dapat mengeratkan silaturahim dan mengukuhkan ikatan persaudaraan.

Sambutan Aidilfitri akan diraikan dengan cara yang berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama untuk meraikan hari kemenangan.

Kakitangan LBS menemani anak-anak yatim dan asnaf ini mencuba pakaian raya di salah sebuah pasar raya di Tanjong Karang.
Kakitangan LBS menemani anak-anak yatim dan asnaf ini mencuba pakaian raya di salah sebuah pasar raya di Tanjong Karang.

Bagi 10 anak yatim dan asnaf yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Gambut, Tanjong Karang, kehadiran Aidilfitri pada kali ini amat bermakna kepada mereka.

Mereka bertuah kerana diraikan dalam Program Iftar Untukmu yang dianjurkan oleh syarikat hartanah terkemuka, LBS Bina Group Berhad (LBS) sempena Ramadan pada tahun ini.

Salah seorang kanak-kanak yang diraikan, Nur Shahanim Hisamudin, 12, berkata, kakitangan LBS telah membawa mereka ke sebuah pusat membeli-belah untuk membeli baju raya dan restoran berhampiran untuk berbuka puasa.

Menangis kegembiraan

Ketika menceritakan semula perasaan apabila dapat membeli baju raya yang diingini dan berbuka puasa bersama-sama rakan-rakan lain, Nur Shahanim tidak dapat menahan air matanya dan menangis kegembiraan kerana terharu dengan sumbangan yang diberikan.

Kakitangan LBS bersama anak-anak yatim dan asnaf serta guru membaca doa berbuka puasa di sebuah kedai makanan segera.
Kakitangan LBS bersama anak-anak yatim dan asnaf serta guru membaca doa berbuka puasa di sebuah kedai makanan segera.

Ujarnya, pengalaman yang dirasainya itu amat bermakna buat dirinya dan rakan-rakan yang lain kerana untuk tahun ini mereka diberi peluang untuk menyambut perayaan dengan penampilan yang serba baharu.

“Saya dan rakan-rakan yang lain sangat gembira kerana diberikan peluang untuk memilih sendiri pakaian hari raya sendiri. Saya memilih pakaian baju kurung kerana teruja untuk menyambut hari raya dengan berpakaian cantik.

NUR SHAHANIM
NUR SHAHANIM

“Selepas membeli-belah, kami dibawa ke sebuah restoran untuk berbuka puasa. Alhamdulillah, saya teruja untuk berbuka puasa di restoran itu kerana ini merupakan kali pertama saya ke sini,” katanya yang berasal dari Kampung Ampangan, Tanjong Karang.

Nur Shahanim yang juga merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik berbesar hati dan berterima kasih kepada LBS kerana telah memilihnya dan rakanrakan lain untuk membeli-belah sepersalinan pakaian untuk digayakan pada hari raya nanti.

Sementara itu, Muhammad Alif Haziq Muhammad Affendi, 10, turut melahirkan perasaan yang sama kerana berpeluang untuk memilih sendiri keperluan Hari Raya Aidilfitri.

“Kami dibawa ke pusat membeli-belah untuk membeli pelbagai jenis barang keperluan hari raya antaranya baju, seluar dan kasut. Saya sangat seronok kerana dapat melihat sendiri dan memegang pakaian yang akan dibeli.

MUHAMMAD ALIF HAZIQ
MUHAMMAD ALIF HAZIQ

“Ini adalah pengalaman yang sukar untuk saya dan rakan-rakan lain lupakan. Terima kasih kepada LBS dan saya berharap dapat membeli-belah seperti ini pada masa akan datang,” katanya yang berharap supaya dapat merasai lagi pengalaman seperti ini.

Menurut Muhammad Alif yang berasal dari Kampung Parit Dua Ban 4, Sungai Burong, Tanjong Karang itu, meskipun pengalaman itu tidak berkekalan, namun ia masih merupakan kenangan bermakna untuk dirinya dan rakan-rakan lain.

Jelasnya, sumbangan hadiah daripada LBS itu pada masa yang sama juga dapat menyuntik semangat motivasi kepada dirinya untuk terus belajar.

Prihatin golongan memerlukan

Ketua Unit Perhubungan Awam dan Media LBS, Norazian Abdul Aziz berkata, pihaknya berbesar hati kerana dapat turun padang bagi merealisasikan program berkenaan serta dapat membantu membeli kelengkapan barangan raya kepada anakanak yatim dan asnaf tersebut.

“Pada program ini, LBS bersama Sinar Harian turun padang ke SK Seri Gambut untuk mendekati 10 kanakkanak yang kurang bernasib baik ini. Sempena sambutan Ramadan, kita meneruskan program kebajikan dan berprihatin terhadap golongan yang memerlukan.

NORAZIAN
NORAZIAN

“Bagi menceriakan sambutan hari raya yang bakal menjelang tiba, mereka dibawa untuk membeli kelengkapan raya di sebuah pusat membeli-belah. Selain membawa mereka membeli-belah baju dan kasut raya, kami juga memberi peluang kepada mereka untuk berbuka puasa di sebuah restoran makanan segera dan berkunjung ke beberapa tempat yang mereka sendiri pun tidak pernah datang di sini,” katanya pada Rabu.

Pada program tersebut, selain membeli barangan hari raya, Norazian turut menyerahkan sumbangan cek bernilai RM2,000 kepada SK Seri Gambut manakala 10 anak-anak yatim dan asnaf tersebut menerima sumbangan berbentuk duit raya serta cenderahati daripada pihak LBS.

Ujar Norazian, pihaknya berharap sumbangan tersebut dapat menyuntik semangat dan memberi motivasi kepada mereka untuk memulakan alam persekolahan dengan cemerlang.

“Saya rasa sangat terharu dan berbesar hati kerana dapat meluangkan masa berkenalan dengan mereka. Bagi saya kita mampu mengubah kehidupan sekiranya kita dilengkapi dengan ilmu dan juga doa daripada orang yang tersayang,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Norazian, program Iftar Untukmu ini juga merupakan kerjasama kali kedua yang dijalankan bersama Sinar Harian.

“Di LBS, kami turut mempunyai satu sayap tanggungjawab sosial yang dikenali sebagai LBS Foundation. Namun begitu, untuk kali ini Jabatan Komunikasi Korporat, Media & Digital, LBS turun padang sendiri untuk merealisasikan program berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan asnaf ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pengalaman bekerjasama dengan Sinar Harian untuk menganjurkan program ini, Norazian berkata, pihaknya yakin gandingan berkenaan mampu mencipta kejayaan pada program kali ini seperti apa yang telah dilakukan sebelum ini.

REAKSI

NUR DAMIA SHAH
NUR DAMIA SHAH



“Saya rasa gembira kerana dapat keluar dengan kawankawan. Saya mengucapkan terima kasih kerana bawa kami berjalan-jalan dan membeli baju raya untuk kami,” - Nur Damia Shah Indra Purnama, 12.

NUR MASTURINA SHAH
NUR MASTURINA SHAH

“Sebelum ini tak pernah orang belanja kami macam ini. Saya harap dapat keluar seperti ini lagi kalau ada peluang, ” - Nur Masturina Shah Indra Purnama, 11.