Perjanjian air: Malaysia-Singapura setuju selesai secara damai

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong ketika sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (kanan) bersama rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong ketika sidang media sempena Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia dan Singapura bersetuju untuk mencari penyelesaian secara damai berhubung perjanjian air termasuk kemungkinan menyelesaikan pertikaian menerusi timbang tara atas dasar persetujuan bersama, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perjanjian air adalah antara isu yang dibincangkan Dr Mahathir dengan rakan sejawatan beliau dari Singapura, Lee Hsien Loong semasa Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di sini hari ini.

Malaysia dan Singapura terikat di bawah Perjanjian Air Sungai Johor 1962. Bagi Malaysia, menyelesaikan isu yang lama tertangguh berkaitan semakan semula harga air merupakan satu keutamaan.

“Kami mengadakan perundingan yang aktif berkaitan semakan semula itu pada lewat tahun 90-an dan 2000," kata Dr Mahathir pada sidang media yang penuh sesak, dengan turut dihadiri Lee, selepas pemukiman itu.

Isu berhubung perjanjian air antara kedua-dua negara kembali menjadi topik panas pada pertengahan tahun lepas apabila Dr Mahathir berkata harga air mentah yang dijual kepada Singapura tidak munasabah dan beliau bercadang untuk merundingkan semula terma perjanjian.

Perjanjian itu, yang berakhir pada 2061, memberi hak kepada Singapura untuk mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.

Johor kemudian membeli semula air terawat daripada republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Lee berkata sungguhpun Singapura berpendapat Malaysia telah kehilangan haknya untuk menyemak semula harga di bawah perjanjian itu, tetapi kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Peguam Negara (AG) masing-masing akan mengadakan perbincangan pada November ini untuk memahami kedudukan undang-undang kedua-dua negara berhubung hak untuk semakan semula itu.

Artikel Berkaitan:

Mengenai hasil jangka panjang, Lee berkata Johor telah membina loji air di sungai Johor di huluan kerja air PUB di Kota Tinggi, dan gabungan jumlah yang dikeluarkan oleh loji ini mungkin melebihi hasil mampan sungai.

"Kita perlu mengkaji bagaimana untuk memenuhi keperluan air Johor dan Singapura bagi perkara lain dalam Perjanjian Air. Kami juga bersetuju bahawa kedua-dua AG kita perlu meneruskan dialog dan saling memahami perspektif serta kepentingan masing-masing," katanya. -Bernama