Bertegaslah dalam isu kesihatan

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BEBERAPA minggu lalu, kira-kira 40 pelancong mendakwa mereka tiba-tiba jatuh sakit selepas pulang dari bercuti di Pulau Perhentian, Besut iaitu salah sebuah destinasi pelancongan popular negeri Terengganu.

Berdasarkan artikel yang disiarkan, mangsa mendakwa mereka yang terdiri daripada 27 dewasa, tujuh kanak-kanak dan enam kanak-kanak kecil mengalami muntah-muntah, manakala sebahagian daripada mereka mengalami cirit-birit dan demam panas sehingga dimasukkan ke hospital.

Seorang kanak-kanak berusia setahun disahkan menghidap kepialu, manakala dua lagi kanak-kanak mengalami keracunan darah.

Kisah tidak enak itu pasti memberi gambaran buruk kepada bakal pelancong selain trauma kepada mangsa yang datang bercuti dengan harapan mahu mencipta kenangan indah bersama keluarga.

Memang benar jatuh sakit perkara di luar kawalan, namun puncanya harus diberi perhatian supaya situasi sama tidak berulang pada masa hadapan apatah lagi melibatkan kawasan pelancongan utama.

Kejadian ini bukan kali pertama berlaku kerana pada Jun lalu turut dilaporkan enam wanita mendakwa mengalami keracunan makanan walaupun mematuhi nasihat supaya hanya makan makanan di resort tempat mereka menginap.

Kerajaan sebenarnya tidak perlu lagi berlembut sebaliknya terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar peraturan ditetapkan.

Tindakan itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan negeri memandang serius terhadap perkara yang melibatkan tahap keselamatan dan kesihatan pelancong.

Artikel Berkaitan:

Kita bimbang sekiranya isu tersebut tidak ditangani dengan baik, ia boleh menjejaskan pemain industri pelancongan khususnya di pulau peranginan yang mula ‘bernafas’ kembali selepas impak Covid-19.

Ia sekali gus membantutkan hasrat kerajaan Terengganu menarik lebih tiga juta pelancong pada tahun ini. Namun, pujian perlu diberikan kepada kerajaan negeri kerana mengambil tindakan mengarahkan semua agensi terlibat menjalankan siasatan segera untuk mencari dan menilai punca kejadian.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Terengganu, Ariffin Deraman memaklumkan masih menunggu siasatan lengkap sebelum menjelaskan isu sebenar yang berlaku.

Memandangkan isu-isu sebegini boleh memberi kesan kepada sektor pelancongan negeri ini, katanya, kerajaan tidak teragak-agak menggunakan segala tindakan perundangan sedia ada dengan tegas kepada premis tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, bagi mengatasi isu aduan sistem kumbahan di Pulau Perhentian pula, kerajaan negeri dengan kerjasama Kementerian Alam Sekitar (KASA) sedang berusaha untuk membina Loji Kumbahan Bersepadu bagi menangani isu-isu berkaitan pencemaran kumbahan.

Selain itu, susulan aduan sebelum ini, KASA dengan kerjasama Indah Water Konsortium (IWK) sedang menjalankan Pelupusan Enapcemar secara keseluruhan di Pulau Perhentian.

Jelas Ariffin, Jabatan Alam Sekitar Terengganu sentiasa menjalankan program pengawasan kualiti air marin secara berkala di Pulau Perhentian dan keputusan pengawasan kualiti air marin pada Jun sehingga September lalu telah menunjukkan kualiti air pada tahap yang terbaik.

Selain kawasan tumpuan lain seperti Pasar Besar Kedai Payang, Jambatan Angkat dan Pantai Batu Burok, rata-rata pelancong yang berkunjung ke Terengganu memilih menghabiskan cuti mereka di Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

Mengikut rekod yang dilaporkan media, tiga negeri di Pantai Timur menerima kedatangan pelancong lebih 100 peratus sejak sempadan negeri dibuka berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula 10 Jun 2020.

Berdasarkan kajian pelancongan domestik yang dijalankan Tourism Malaysia April 2020, Terengganu menerima kenaikan pelancong tertinggi iaitu 165 peratus diikuti Kelantan (135 peratus) dan Pahang (114 peratus).

Lebih 72 peratus daripada 13,797 responden kajian memilih pulau dan pantai sebagai destinasi percutian pilihan selain premis makanan menarik.

Ini menunjukkan kepentingan pulau dalam industri pelancongan Terengganu.

Siasatan sudah dijalankan, apa yang boleh dilakukan adalah menunggu keputusan yang dijangka siap sebulan lagi sebelum punca sebenar kejadian dan tindakan bakal diambil kepada pihak terlibat diumumkan.

* Rahayu Mustafa ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Terengganu