Beli peralatan canggih, tapi sekali pun tak pernah guna

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

SELAIN peti ais, satu lagi peralatan elektrik di rumah yang penting bagi Merak Jalanan ialah mesin basuh.

Merak Jalanan masih ingat, semasa membeli mesin basuh tersebut, Merak Jalanan tertarik dengan fungsi terbaharunya - boleh control dari jauh menggunakan wifi di rumah.

Walaupun berada di pejabat, Merak Jalanan boleh menekan butang ON hanya menggunakan telefon bimbit. Canggihkan?

Sebab kecanggihannya itu, Merak Jalanan sanggup mengeluarkan bajet besar walaupun pada mulanya berminat dengan mesin basuh jenama lain yang RM1,000 lebih murah.

Sedar tak sedar, sudah enam tahun Merak Jalanan membeli mesin basuh tersebut. Tetapi tidak pernah sekali pun menggunakan fungsi canggih itu.

Sekarang baru terfikir, Merak Jalanan sebenarnya tidak memerlukan teknologi berkenaan. Kalau sudah ada di pejabat, Merak Jalanan tak ingat lagi apa yang berlaku di rumah. Malah, Merak Jalanan jimat RM1,000 sekiranya membeli mesin basuh jenama lain.

Ini antara contoh yang berlaku sekarang. Ramai yang tak sedar mereka berbelanja besar kerana tertarik dengan teknologi baharu yang sebenarnya tidak perlu.

Macam kawan Merak Jalanan, sibuk mahu menukar telefon bimbit kerana tertarik dengan teknologi baharu kameranya. Apabila sudah membeli telefon baharu, fungsi kamera jarang dipakai, hanya lebih kepada bersembang dengan grup WhatsApp. Kalau pakai telefon lama pun boleh.

Artikel Berkaitan:

Begitu juga selepas pandemik semakin reda, ramai yang sudah berkira-kira mahu menukar kereta baharu. Kereta lama masih lagi elok dan cantik. Ada juga yang belum habis bayar bank.

Penganalisis ekonomi meramalkan ekonomi dunia termasuk Malaysia akan berdepan cabaran lebih besar pada tahun hadapan.

Nasihat Merak Jalanan, mulai sekarang kawallah nafsu berbelanja agar wang tidak digunakan kepada perkara-perkara yang tidak perlu.

Fikir dahulu sebelum beli....