'Kenyataan saya disalah tafsir' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
Ahmad Zahid Hamidi - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kenyataan beliau dalam Perhimpunan MIC baru-baru ini telah disalah tafsir.

Menurut beliau, perbicaraan jenayah yang perlu dihadapi kepimpinan UMNO jika tewas dalam Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) adalah bermaksud pendakwaan terpilih iaitu bermotifkan politik.

Menurutnya, pendakwaan yang sengaja direka dan diada-adakan oleh musuh BN untuk menzalimi, merosakkan dan menjatuhkan imej pemimpin BN sekiranya mereka menang PRU15 nanti.

"Seperti mana yang mereka lakukan sejurus memegang kuasa pentadbiran negara selepas menang PRU14 pada 9 Mei 2018.

"Inti patinya adalah pendakwaan politik, pendakwaan terpilih, pendakwaan zalim yang penuh dengan muslihat serta tipu daya demi memperkukuhkan kuasa.

"Namun ianya akan menjadi suci dan selamat jika bersekongkol dan bersama dengan mereka. Jadi tidak hairanlah ada yang sanggup lompat parti untuk menyelamatkan diri agar terus suci," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau telah membuat pengakuan pemimpin-pemimpin UMNO bersalah dan pertandingan UMNO dalam PRU adalah untuk menyelamatkan mereka daripada dibicara di mahkamah dan dihukum.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, lawan BN kini sedang takut akan bayang-bayang mereka sendiri dan membantah PRU15 kerana menjangkakan BN akan kembali mentadbir negara dan membalas dendam.

"Lawan BN sedang ketakutan kepada istilah 'what you give you get back' selepas kezaliman yang mereka lakukan semasa berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Seperti saya nyatakan berulang kali saya tiada sifat dendam, sentiasa memaafkan tapi tidak melupakan," katanya.

Justeru, tegas beliau, PRU15 adalah tentang mengembalikan hak rakyat untuk memilih.

"PRU15 adalah tentang usaha rakyat mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di bumi Malaysia. Yakini rakyat buat pilihan terbaik. Insya-ALLAH," katanya.