Kem Malaysia jangan mengalah awal

ABU SAMAH. FOTO AGENSI
ABU SAMAH. FOTO AGENSI
A
A
A

[DIKEMAS KINI] TERUSKAN perjuangan. Itu pesanan ringkas kepada pasukan kebangsaan Malaysia selepas kehilangan Muhammad Ameer Ahmad Kamal yang gagal menamatkan perlumbaan Peringkat 1 Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 pada Selasa.

Ameer – pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 yang dianggap tonggak pasukan untuk pendakian Peringkat 3 dari Putrajaya ke Genting Highlands pada Khamis, disahkan mengalami keracunan makanan sekali gus memberi tamparan hebat kepada moral kem Malaysia.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, situasi di luar jangkaan itu diharap tidak menjadi 'jalan terakhir' buat skuad lebuh raya negara.

“Memang sukar untuk percaya Ameer gagal tamatkan perlumbaan peringkat pertama. Kita sasarkan Ameer akan menjadi perancang pada perlumbaan Peringkat 3 pendakian Genting Highlands.

“Nampaknya kita terpaksa lupakan khidmatnya. Lima pelumba yang ada khususnya Sofian Nabil (Mohd Bakri) dan Nik Mohd Azwan (Zulkiflie). Saya berharap tiada lagi insiden keracunan makanan selepas ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Selain Ameer, empat lagi pelumba lain termasuk pelumba handalan, Rui Costa (UAE Team Emirates), Sindre Kulset, Ponlawat Sakunthanaplum dan Phuridet Inthapiw gagal meneruskan kayuhan mereka pada Peringkat 1 yang bermula di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan berakhir di Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Dalam pada itu, pengurus pasukan, Ezral Ezwani Abd Malik percaya percaturan baharu terpaksa dilakukan oleh jurulatih, Mohd Yusof Nasir dan Amir Mustafa Rusli selepas kehilangan Ameer dalam baki perlumbaan LTdL 2022 bermula Peringkat 2.

“Memang kami barisan pengurusan dan kejurulatihan terpaksa congak strategi baharu. Bagaimanapun, saya percaya kedua-dua jurulatih pasukan boleh mengatur langkah baharu demi merealisasikan impian Malaysia berada dalam kelompok 15 teratas,” jelasnya.

Artikel Berkaitan: