Kekebalan dan hudud di Brunei

A
A
A

PADA 29 Disember 2018 lalu, Kementerian Hal Ehwal Agama Brunei melalui Jabatan Peguam Negara Brunei mengeluarkan makluman bahawa Arahan Kanun Keseksaan Syariah 2013 akan berkuat kuasa bermula pada 3 April 2019.

Arahan Kanun Keseksaan Syariah tersebut adalah undang-undang syariah yang melaksanakan sepenuhnya hukum jenayah Islam yang terbahagi kepada hudud, qisas dan takzir.

Selain mendapat tentangan hebat daripada masyarakat antarabangsa, turut mendapat perhatian mengenai pelaksanaan undang-undang syariah ini adalah mengenai “pengecualian” hukuman terhadap Sultan Brunei dan pegawai-pegawai yang bertindak bagi pihak baginda.

Ada juga yang mengatakan bahawa kaum kerabat diraja turut terkecuali daripada hukuman syariah ini. Adakah dakwaan ini benar?

Saya cuba meneliti undang-undang Brunei terutamanya Perlembagaan Brunei untuk melihat sama ada dakwaan bahawa kaum kerabat baginda turut terkecuali daripada dikenakan hukuman syariah ini adalah berasas.

Perkara 84B(1) Perlembagaan Brunei menetapkan bahawa baginda sultan tidak boleh didakwa di mana-mana mahkamah atas apa-apa jua pertuduhan.

Ini bermaksud, Perkara 84B memberikan kekebalan penuh kepada Sultan Brunei daripada dikenakan sebarang tindakan undang-undang termasuk undang-undang syariah. Peruntukan yang memberikan kekebalan kepada Sultan ini sudah terang dan nyata. Tiada kekeliruan baginya.

Namun, apa yang menjadi kekeliruan adalah sama ada kaum kerabat diraja Brunei turut mendapat kekebalan undang-undang terutamanya kekebalan daripada undang-undang syariah?

Artikel Berkaitan:

Sepanjang saya menilai Perlembagaan Brunei dan Arahan Kanun Keseksaan Syariah tersebut, saya mendapati beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Brunei memerlukan interpretasi undang-undang yang mendalam.

Perkara 84B(2) mengatakan bahawa individu yang bertindak bagi pihak sultan atau dengan arahan sultan tidak boleh dibicarakan di dalam mana-mana mahkamah berkaitan dengan apa-apa jua yang dilakukan oleh individu tersebut jika kesalahan itu dilakukan atas kapasiti rasmi beliau.

Ini bermakna, tidak kira sama ada seseorang individu itu berdarah biru atau tidak, jika beliau bertindak bagi pihak sultan dan mendapat perkenan sultan, beliau berhak untuk mendapat kekebalan daripada didakwa atas sebarang kesalahan termasuk kesalahan undang-undang syariah.

Sebagai contoh, jika seseorang individu itu diperintahkan oleh sultan untuk mewakili baginda dalam satu urusan rasmi di luar negara, dan ketika dalam lawatan rasmi tersebut individu itu meminum arak atau berzina, maka beliau adalah kebal daripada didakwa di bawah undang-undang syariah Brunei.

Ya, Seksyen 3(3) Arahan Kanun Keseksaan Syariah menetapkan bahawa jika sesiapa yang melakukan kesalahan jenayah syariah di luar Brunei, maka beliau mesti didakwa seperti mana kesalahan tersebut dilakukan di dalam Brunei.

Berbalik kepada persoalan sama ada kaum kerabat diraja turut layak mendapat kekebalan yang sama terutamanya jika kesalahan tersebut tidak dilakukan ketika beliau dalam kapasiti rasmi seperti yang dititahkan sultan?

Tiada peruntukan undang-undang yang secara jelas mengatakan bahawa kaum kerabat diraja berhak mendapat kekebalan daripada tindakan undang-undang, namun Perlembagaan Brunei mempunyai lakuna (kelemahan/kekosongan) yang tersendiri.

Biarpun tiada peruntukan khas yang memberikan kekebalan kepada kaum kerabat diraja, namun baginda sultan masih mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan imuniti kepada mana-mana kaum kerabat yang dikehendaki baginda.

Malah, Perkara 84C Perlembagaan Brunei menetapkan, tiada kajian semula kehakiman (atau lebih dikenali sebagai semakan kehakiman (judicial review) di Malaysia) yang boleh didapati di Brunei.

Ini bermaksud, apa-apa perbuatan, keputusan, pemberian, pembatalan atau penggantungan, atau keengganan daripada menjalankan sebarang kuasa, autoriti atau budi bicara oleh baginda sultan tidak boleh dicabar di mahkamah dan baginda sultan tidak terikat untuk memberikan sebarang alasan kenapa baginda bertindak sedemikian rupa.

Harus difahami, di bawah Perlembagaan Brunei, ‘kuasa’ budi bicara baginda adalah sangat luas dan tidak boleh dicabar.

Malah, Perkara 42 Perlembagaan Brunei turut melarang Ahli Majlis Mesyuarat Negara (Parlimen) daripada memperkenalkan, mencadangkan, atau membahaskan sebarang rang undang-undang atau apa-apa pindaan kepada sebarang undang-undang, usul, petisyen atau urusan yang mungkin mempunyai kesan merendahkan atau menjejaskan secara langsung atau tidak langsung hak-hak, kedudukan, budi bicara, kuasa-kuasa, keistimewaan-keistimewaan, kedaulatan atau hak mutlak sultan, pengganti-pengganti baginda, permaisuri baginda atau ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Jika Perkara 42 (dibaca bersama Perkara 84B dan 84C) ditafsir secara liberal, ini bermaksud, kaum kerabat diraja Brunei sebenarnya secara tidak langsung boleh mendapat kekebalan daripada didakwa atas mana-mana undang-undang, dengan syarat harus mendapat perkenan baginda sultan.

Adakah ini bermaksud kita cuba menuduh baginda Sultan Brunei akan bertindak berat sebelah? Sudah tentu tidak sama sekali. Tetapi, baginda sultan masih seorang manusia, dan masih berpotensi untuk berbuat khilaf dalam budi bicara.

Kita harus faham, undang-undang yang terbuka untuk dimanipulasi atau cenderung untuk disalah guna bukanlah undang-undang yang baik.

Sebagaimana kita pernah mengatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri boleh disalah guna oleh pemerintah, begitulah juga anggapan yang sama boleh diguna pakai terhadap beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Brunei.

Kekebalan diraja bukan hanya wujud di Brunei. Banyak negara yang turut memberikan kekebalan kepada raja-raja atau pemerintah mereka.

Namun, yang menjadi perhatian kita pada hari ini adalah, sangat tidak wajar untuk seseorang itu dikecualikan daripada dikenakan sebarang hukuman syariah semata-mata kerana status sosial.

Ini hanya akan membawa nama buruk dan fitnah kepada Islam seolah-olah Islam membeza-bezakan kedudukan manusia.

* Haeme Hashim ialah seorang peguam di HaemeHashim & Co.