Jimat kos pengurusan penjara RM182 juta setahun

Wan Ahmad Dahlan (tiga dari kanan) merasmikan majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia pada Selasa.
Wan Ahmad Dahlan (tiga dari kanan) merasmikan majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia pada Selasa.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Penjara Malaysia dapat menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun menerusi program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, sebanyak RM5.5 bilion telah dibelanjakan sejak lima tahun lalu bagi kos pengurusan kepenjaraan untuk penyediaan peralatan, kemudahan, perubatan, makanan, kawalan, pengiringan dan sebagainya.

“Pada tahun ini Jabatan Penjara Malaysia menyasarkan 10,000 banduan yang layak akan menjalani program-program tersebut.

“Pesalah-pesalah tersebut akan ditempatkan dalam industri dan seterusnya dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing,” katanya pada majlis pelancaran Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah (Pindaan) 2022 (Akta A1660) di Ibu Pejabat Penjara Malaysia di sini pada Selasa.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Jabatan Penjara Malaysia akan berusaha lebih gigih melalui inisiatif dan program-program baharu bagi memulihkan penghuni penjara supaya mereka dapat kembali semula kepada masyarakat serta tidak mengulangi jenayah setelah dibebaskan.

"Sistem kepenjaraan di negara ini berkaitan dengan penahanan, pemulihan banduan dan hukuman alternatif bagi pemenjaraan juga menjadi fokus utama kementerian untuk tujuan penambahbaikan.

“Kementerian juga telah mengambil langkah proaktif dalam jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan kita sentiasa bersedia dengan mempunyai rangka kerja komprehensif bagi menangani isu-isu tersebut,” katanya.

Artikel Berkaitan: