Paras air menurun punca gajah daki bukit di Tasik Kenyir

Gambar kiri: Gambar seekor gajah menyeberangi jalan yang dirakam Suzairi. Gambar kanan: Keadaan air di dataran tanah rendah selepas paras air turun di Tasik Kenyir menyebabkan rumput-rumput mengering dan mati. FOTO: Suzairi Zakaria (Gambar kecil: Suzairi)
Gambar kiri: Gambar seekor gajah menyeberangi jalan yang dirakam Suzairi. Gambar kanan: Keadaan air di dataran tanah rendah selepas paras air turun di Tasik Kenyir menyebabkan rumput-rumput mengering dan mati. FOTO: Suzairi Zakaria (Gambar kecil: Suzairi)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penurunan paras air di Tasik Kenyir menyebabkan tumbuh-tumbuhan di kawasan dataran tanah rendah menjadi kering dan mati serta tiada tumbuhan baharu antara punca kawanan gajah merayau ke kawasan lebih tinggi untuk mencari sumber makanan.

Jurugambar bebas, Suzairi Zakaria, 45, berkata, keadaan itu boleh dilihat memandangkan dia sering menggunakan jalan Kenyir-Aring sejak 14 tahun lalu.

"Baru-baru ini tular di media sosial mengenai rakaman gambar sekumpulan gajah yang dikatakan menaiki bukit termasuk yang berlaku berhampiran jalan raya Kenyir-Aring sehingga ada yang menganggap ia menjadi petanda banjir besar.

"Bagi saya, fenomena itu bukanlah perkara luar biasa memandangkan saya sering menggunakan laluan itu dan biasa dengan keadaan hutan di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Selasa.

Jelasnya, kebanyakan gajah yang ditemui di tepi jalan di kawasan Tasik Kenyir sudah berada di kawasan tinggi memandangkan purata kedudukan jalan raya Kenyir-Aring sekitar 200 meter dari paras laut.

"Bentuk muka bumi sebelah kanan jalan majoritinya adalah berbukit-bukau manakala sebelah kiri pula adalah kawasan Tasik Kenyir.

"Gajah boleh ditemui di hutan pamah dan hutan dipterokarp bukit. Tidak hairanlah haiwan itu sering menggunakan laluan di kebanyakan tempat sepanjang jalan raya untuk bergerak terutama ketika mencari sumber makanan," katanya.

Kongsi Suzairi, terdapat gambar-gambar gajah yang telah dirakam di sepanjang laluan Kenyir - Aring dan Tasik Kenyir yang menjadi koleksinya.

Artikel Berkaitan:

Najis gajah yang ditinggalkan di kawasan berbukit menunjukkan kawanan haiwan itu berlegar mencari makanan di lokasi berkenaan. FOTO: Suzairi Zakaria
Najis gajah yang ditinggalkan di kawasan berbukit menunjukkan kawanan haiwan itu berlegar mencari makanan di lokasi berkenaan. FOTO: Suzairi Zakaria

Suzairi sinonim dengan kawasan hutan kerana sering mendokumentasi kehidupan masyarakat Orang Asli suku Bateq serta sering menjelajah hutan bagi merakam khazanah flora dan fauna.

Selain itu, dia turut aktif dalam usaha pemuliharaan tumbuhan hutan termasuk orkid liar yang hampir pupus akibat pembalakan dan penerokaan tanah dengan mengambil inisiatif menanam semula tumbuhan unik itu di halaman rumahnya di Setiu, Terengganu.

Bercerita lanjut, Suzairi berkata, haiwan terbesar di darat itu tidak tinggal setempat, ia lebih gemar bergerak dalam kumpulan atau bersendirian serta banyak menghabiskan masa seharian untuk makan.

"Gajah tidak takut air dan boleh berenang. Mereka lebih gemar hidup berhampiran sumber air dan sering berendam untuk menyejukkan badan," ujarnya.

Insiden terserempak dengan kawanan gajah semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini serta mendapat perkongsian ramai pengguna media sosial.

Pada 3 Oktober lalu, pengguna jalan raya di laluan Felda Neram I menghala ke Felda Neram II di Kemaman terkejut apabila terserempak dengan lebih 30 ekor gajah liar melintas jalan tersebut.

Pada 6 Oktober, tular rakaman video berdurasi 18 saat yang memaparkan sekumpulan gajah berada di atas bukit di Simpang Kuala Betis ke Lojing, Gua Musang.

Terbaru pada Sabtu lalu, sepasang suami isteri bersama seorang anak menyaksikan kira-kira 14 ekor gajah melintas jalan dan mendaki kawasan berbukit di Tasik Kenyir ketika dalam perjalanan pulang dari Terengganu ke rumahnya di Felda Aring, Gua Musang, Kelantan.