Kapal OPV pertama Maritim Malaysia berjaya dilancarkan

Kapal OPV berjaya dilancarkan ke air di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Kapal OPV berjaya dilancarkan ke air di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Kapal peronda luar pesisir yang pertama (OPV 1) milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya dilancarkan di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.

Kerja-kerja melancarkan kapal itu ke air berlangsung di limbungan TH Heavy Engineering (THHE) di Pelabuhan Klang pada jam 5.57 pagi dengan menggunakan sistem pelancaran ‘air balloon’.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Zubil Mat Som berkata, THHE akan menghidupkan dan mentauliah sistem kapal, membuat ujian di laut serta menyediakan latihan kepada kru kapal selama tiga bulan sebelum majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada Maritim Malaysia pada awal tahun depan.

"Kapal OPV 1 berukuran 83 meter panjang dengan 13.7 meter lebar itu berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Zubil (dua dari kanan) turut hadir melihat kerja-kerja melancarkan kapal OPV 1 ke air di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Zubil (dua dari kanan) turut hadir melihat kerja-kerja melancarkan kapal OPV 1 ke air di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.

Pelancaran kapal itu turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan Malaysia, Anis Rizana Mohd Zainudin, Setiausaha Bahagian Perolehan Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Firdaus Baharudin serta ahli-ahli lembaga pengarah dan pengurusan Urusharta Jamaah Sdn Bhd dan TH Heavy Engineering Berhad.

Zubil berkata, kapal yang direka bentuk mengikut reka bentuk kapal Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal.

"Selepas diserahkan kepada Maritim Malaysia kelak, kapal OPV 1 dijangka akan beroperasi di kawasan perairan sekitar Beting Patinggi Ali, Sarawak," ujarnya.

Artikel Berkaitan: