RM34 juta peruntukan tangani masalah mental

Khairy Jamaluddin di Majlis Penyerahan Projek Tebatan Banjir HRPZII di sini pada Isnin.
Khairy Jamaluddin di Majlis Penyerahan Projek Tebatan Banjir HRPZII di sini pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan memperuntukkan RM34 juta melalui bajet 2023 bagi mengatasi masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat menerusi Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan di bawah MyMYNDA.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia merupakan satu komitmen kerajaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menangani masalah kesihatan mental dengan lebih baik.

"Terutamanya setelah ramai rakyat kita terkesan dengan kehilangan pekerjaan, mata pencarian dan juga kematian orang tersayang akibat pandemik Covid-19.

"Dalam usaha memastikan kesejahteraan mental sebanyak 60 hospital dan 1,161 klinik kesihatan serta 35 buah Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) menyediakan perkhidmatan berkaitan kepada rakyat," katanya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut pada 10 Oktober setiap tahun.

Sebelum itu beliau merasmikan Majlis Penyerahan Projek Tebatan Banjir HRPZII di sini pada Isnin.

Menurut beliau, disamping itu, KKM turut menyediakan perkhidmatan Talian Bantuan Psikososial dan menempatkan 200 pegawai psikologi kaunseling di peringkat daerah bagi memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Katanya, usaha tersebut perlu disokong oleh semua agensi kerajaan, swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) melalui aktiviti advokasi bagi mengurangkan stigma terhadap kesihatan mental dan penyakit mental.

Tambah Khairy, individu yang terlibat juga digalakkan tampil untuk mendapatkan bantuan.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan akan terus meningkatkan usaha dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk rakyat demi mencapai tahap kesihatan dan kesejahteraan mental yang optimum.

"Kesihatan mental bukan setakat menangani masalah seperti psikosis atau seumpamanya, tetapi lebih daripada itu, kesihatan mental adalah berkenaan keupayaan mental kita mengadaptasi keadaan seperti kehilangan mata pencarian atau kematian orang tersayang - tanpa mengalami kemurungan yang melampau sehingga mengalami masalah mental," katanya.

Menurut beliau, ia memerlukan interaksi dan sokongan daripada saudara, jiran serta masyarakat sekeliling.

"Jadi saya mohon adik kakak semua supaya lebih cakna dengan keadaan dan masalah yang dihadapi oleh orang-orang di sekeliling anda," katanya.