Lebih RM400 juta peruntukan tahunan Marris untuk Pahang - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Selasa. - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bersama Penjawat Awam Negeri Pahang di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan di sini pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Lebih RM400 juta daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) peruntukkan kepada Pahang bagi memastikan jalan negeri berada dalam keadaan baik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, keadaan jalan di Pahang antara perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mesyuarat Kewangan Negara di Putrajaya pagi tadi, kerana keadaan jalan yang berlubang berisiko menyebabkan kemalangan jalan raya.

Selain itu, Anwar memaklumkan sebahagian daripada peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala turapan jalan Persekutuan yang meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, juga akan dikhususkan untuk negeri Pahang.

"Kalau dahulu jalan negeri teruk dan jalan Persekutuan baik (tetapi) sekarang jalan negeri sudah elok dengan peruntukan Marris dan jalan Persekutuan yang berlubang sana sini. Saya dengar dan tambah peruntukan (penyelenggaraan jalan Persekutuan) kepada RM1 bilion untuk baiki jalan-jalan dengan tindakan segera.

"(Tindakan segera) bukan rundingan terus kerana saya tidak setuju kerana banyak songlap (ketirisan), tetapi (menerusi) tender, cepat dan terhad," katanya semasa berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Majlis Bandaraya di sini pada Selasa.