Kleptokrasi, korupsi kembali jika UMNO, BN menang PRU15

Muhyiddin (tengah) menyerahkan sumbangan untuk pembukaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik, Pagoh, Tangkak, pada Sabtu.
Muhyiddin (tengah) menyerahkan sumbangan untuk pembukaan Pusat Daerah Mengundi (PDM) pada Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik, Pagoh, Tangkak, pada Sabtu.
A
A
A

TANGKAK - Malaysia akan kembali terjebak dalam masalah kleptokrasi dan korupsi sekiranya pengundi memilih UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru adalah penting untuk pengundi tidak tersalah memilih pada PRU15 dan mereka perlu memilih PN.

"Kita perlu menyedarkan mereka jika tidak memberi sokongan kepada PN untuk membentuk kerajaan (baharu) selepas PRU, musibah yang akan dihadapi adalah negara akan jadi jauh lebih teruk lagi. Nauzubillah.

"Sudah menjadi satu DNA, tindakan-tindakan yang mereka ambil adalah rakus kuasa, sekarang ini kita sama-sama memerintah (kerajaan campuran PN dan BN) untuk menstabilkan keadaan, stabilkan negara dan yang menstabilkan kerajaan ini adalah PN.

"Kalau kita tak sokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tak jadi Perdana Menteri, tapi malangnya mereka tidak hormat kita sedikitpun. Di peringkat Pusat, semua jawatan penting mereka ambil daripada ketua kampung, penghulu, jawatan GLC dan timbalan menteri, semuanya mereka ambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Pagoh di Dewan Geliga, pekan Gersik di sini pada Sabtu.

Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu merangkap Ketua Bersatu Bahagian Pagoh berkata, tidak dapat dibayangkan sekiranya UMNO dan BN berkuasa sepenuhnya jika menang PRU15 sekali gus menyaksikan kleptokrasi dan korupsi akan kembali bermaharajalela.

"Sudah tentu perangai lama yang buruk dan tak senonoh akan terus dilakukan. Rasuah tidak boleh dibanteras," ujar Ahli Parlimen Pagoh itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhyiddin bimbang sekiranya Bajet 2023 yang dibentang pada Jumaat tidak akan dibahaskan kerana Parlimen dibubarkan untuk memberi laluan kepada PRU15.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, keadaan tersebut bakal menyebabkan pelbagai tanggapan boleh dibuat sama ada bajet itu sebenar-benarnya untuk rakyat atau sekadar gula-gula pilihan raya daripada kerajaan.

"Saya takut nanti jangan pula lepas bentang bajet tak bahas, susah nak ramal. Kalau tak bahas pula saya tak boleh nak andaikan ini bajet apa.Tapi kalau dibahaskan sampai lulus pun selepas itu pilihan raya diadakan, macam mana keadaan," soalnya.