Bajet 2023: Balas kepercayaan dengan prestasi membanggakan

Ahmad Shapawi
Ahmad Shapawi
A
A
A

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menuntut atlet negara membalas kepercayaan kerajaan yang menyediakan peruntukan RM154 juta bagi pembangunan sukan dengan mempamerkan prestasi dan disiplin yang baik.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berharap barisan atlet negara akan meningkatkan daya usaha mereka bagi mencapai kecemerlangan, terutama dalam menghadapi Sukan SEA Kemboja bermula 5-17 Mei dan Sukan Asia Hangzhou di China dari 23 September hingga 8 Oktober tahun depan.

"MSN amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang beri pengiktirafan kepada pencapaian kita. Apa yang telah diberi dengan keadaan pemulihan ekonomi kini amatlah memadai, insya-ALLAH kita akan teruskan usaha seperti yang dipertanggungjawabkan.

"Kita sekarang ada 196 atlet pelapis dan 36 jurulatih sepenuh masa. Dengan adanya jaminan (peruntukan) ini, mungkin kita tambah sedikit lagi atlet ke dalam program, manakala yang 50-50 mungkin kita akan pertimbangkan semula," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian sambutan Hari Sukan Negara 2022 (HSN22) di Putrajaya pada Sabtu.

Beliau berkata, apa juga keputusan berkaitan pemilihan, penilaian dan pengguguran atlet daripada Program Podium dan Pelapis, akan dibuat secara kolektif ketika mesyuarat Jawatankuasa Kerja yang turut disertai wakil Institut Sukan Negara (ISN), persatuan sukan kebangsaan, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Mengulas lanjut, Ahmad Shapawi turut mengesahkan bahawa perancangan bagi Sukan SEA dan Sukan Asia sudah lengkap dan proses penyediaan atlet sedang berlangsung mengikut fasa yang ditentukan.

"Kita dah menyediakan kumpulan kecil atlet yang akan ke arah Sukan Asia dan barisan pelapis menggalas cabaran ke Sukan SEA bersama dengan atlet senior lain.

"Mungkin selepas Sukan Asia, kumpulan itu akan meneruskan usaha ke Sukan Olimpik Paris 2024, ia proses yang berterusan. Pengurangan atau penambahan atlet dalam program bergantung kepada penilaian semasa dan sasaran yang diletakkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengingatkan wira dan wirawati negara supaya sentiasa berhati-hati dan mengikut nasihat jurulatih dan pakar sains sukan pada setiap masa, bagi mengelak risiko mengalami kecederaan serius menjelang temasya sukan utama.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat pada Jumaat, mengumumkan peruntukan RM322 juta, termasuk RM145 juta untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

Sebanyak RM13 juta diperuntuk untuk e-sukan; RM12 juta bagi pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU) dan RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Visi Sukan Negara (VSN) 2030 sempena sambutan HSN 2022 di hadapan Istana Kehakiman, Putrajaya- Bernama