Kenaikan harga beri kesan kepada kemampuan miliki hartanah

Kenaikan harga rumah di kawasan bandar utama di negara ini dilihat memberi kesan kepada kemampuan warga kota untuk memiliki kediaman sendiri. (Gambar kecil Izrul) - Gambar hiasan
Kenaikan harga rumah di kawasan bandar utama di negara ini dilihat memberi kesan kepada kemampuan warga kota untuk memiliki kediaman sendiri. (Gambar kecil Izrul) - Gambar hiasan
A
A
A

KENAIKAN harga rumah di kawasan bandar utama di negara ini dilihat menjadi kebimbangan kepada pembeli-pembeli rumah.

Perunding hartanah, Izrul Hanafiah berkata, masalah itu memberi kesan kepada kemampuan warga kota untuk memiliki hartanah di kawasan Lembah Klang.

“Saya melihat industri hartanah dalam tempoh lima tahun ini amat mencabar. Terdapat banyak projek perumahan jenis landed dan apartmen dibina yang merangkumi projek-projek hartanah di lokasi tumpuan atau hotspot utama seperti di sekitar Lembah Klang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Namun, jelas beliau, jika melihat kepada trend hartanah sejak pandemik, harga jualan hartanah di Malaysia dijangka meningkat ke 11 hingga 19 peratus.

Menurutnya, berdasarkan keadaan semasa pasaran, pemaju hartanah dijangka menyerap kenaikan kos dan mengalih sebahagian kos kepada pembeli sebagai sebahagian langkah mengurangkan kesan margin yang mengecil.

“Untuk maklumat, jualan hartanah baharu merosot sebanyak 30 peratus dengan pemaju mencapai tujuh hingga 37 peratus daripada sasaran jualan pada tahun ini atau purata sekitar 20 peratus berbanding 15 hingga 53 peratus tahun sebelumnya,” katanya.

Tambah Izrul, peningkatan jumlah populasi penduduk turut menjadi faktor yang mendorong kenaikan harga rumah setiap tahun.

“Pada pendapat saya, salah satu faktor peningkatan harga rumah adalah kerana kadar kos pembinaan tinggi dan kelemahan dari sudut pelaksanaan harga kawalan oleh pihak kerajaan.

Artikel Berkaitan:

“Ia akan terus menjadi penyebab harga rumah meningkat.

“Jadi, pemaju perumahan kini lebih berminat membina rumah melibatkan kos yang lebih rendah dengan saiz rumah lebih kecil, kepadatan lebih tinggi dan unit lebih banyak bagi mengimbangi kos serta keuntungan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, menurut Izrul, perbezaan peningkatan taraf hidup yang tinggi dengan pendapatan kecil menyebabkan ramai orang tidak mampu memiliki rumah sendiri.

Ujarnya, trend tersebut dijangka menjadi lebih serius pada masa akan datang sekiranya kerajaan tidak campur tangan bagi mengatasi masalah tersebut.

“Saya lihat trend sekarang, fokus utama golongan B40 dan M40 adalah kelangsungan hidup.

“Mereka mengambil keputusan tunggu dan lihat berkaitan ekonomi serta pasaran.

“Fokus untuk memiliki rumah itu mungkin diletak di bawah perancangan ketiga atau keempat,” katanya.

Selain itu, kata Izrul, ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan rumah mengikut lokasi juga menjadi faktor penting.

“Tidak dinafikan, terdapat rumah mampu milik yang ditawarkan dengan harga lebih murah tidak mendapat tempat di hati pembeli golongan ini kerana kawasan terlalu jauh dengan bandar dan kemudahan awam yang lain,” jelasnya.