Beri kesan negatif pelaburan negara

Gambar kecil dari kiri: Dr Oh Ei Sun, Mohd Faisol
Gambar kecil dari kiri: Dr Oh Ei Sun, Mohd Faisol
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Kapitalisme Kroni yang meletakkan Malaysia di tangga ketiga daripada 43 negara akan memberikan kesan negatif terutama dalam sektor pelaburan luar.

Penganalisis ekonomi, Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, antaranya ialah pelabur yang tidak suka kepada amalan kronisme dan pilih kasih akan memberikan persepsi buruk kepada ekonomi negara.

Menurutnya, pelabur berkemungkinan terdiri daripada syarikat besar yang berpotensi untuk memajukan perkembangan ekonomi Malaysia akan menjauhkan diri.

“Ini sangat merugikan negara kerana peluang untuk mewujudkan pekerjaan kepada rakyat seterusnya melonjak negara kepada negara berpendapatan tinggi tidak dapat direalisasikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, media melaporkan Majalah The Economist edisi terbaharu telah menyenaraikan indeks kapitalisme kroni yang mana Malaysia menduduki tempat ketiga daripada 43 negara di belakang Rusia dan Republik Czech.

Majalah mingguan yang berpangkalan di Britain itu mengira indeks berkenaan berdasarkan sama ada kehidupan dalam ekonomi kapitalis mudah dipengaruhi oleh kapitalisme kroni atau sebaliknya.

Indeks berkenaan menyenaraikan 43 negara masing-masing dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$250 bilion (RM1.11bilion) dan menganggarkan jumlah keuntungan plutokrat (orang yang berpengaruh) daripada industri yang mendapat manfaat dan pilih kasih oleh kerajaan (rent seeking).

Menurut Mohd Faisol, kesan lain ialah pelabur yang mempunyai pengalaman dalam rangkaian kronisme atau pilih kasih itu melihatnya sebagai satu peluang dan daya penarik untuk melakukan pelaburan di Malaysia.

Jelasnya, walaupun ia dilihat memberikan kesan positif, tetapi di sebaliknya adalah negatif kerana kos atau perbelanjaan bagi sesuatu projek akan meningkat daripada asal.

Selain itu, beliau berkata, kecenderungan untuk gagal juga adalah tinggi kerana pelabur yang dipilih berasaskan kronisme mungkin kurang kompetensi berbanding pelabur lain.

Tambahnya, kesan lain ialah menyebabkan budaya rasuah kembali subur jika perkara itu diamalkan secara berleluasa tanpa sebarang halangan.

“Dikhuatiri budaya kronisme ini lambat laun menyumbang kepada indeks rasuah negara dan kehidupan dalam ekonomi kapitalis mudah dipengaruhi oleh kumpulan kapitalisme kroni,” ujarnya lagi.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil laporan itu sebagai perkara yang serius dan cuba menanganinya selain memberikan respons kepada kenyataan itu secepat mungkin.

Selain itu, pakar ekonomi lain, Dr Oh Ei Sun berpendapat, kapitalisme kroni membazirkan perbelanjaan negara.

Sebagai contoh, katanya, projek yang sebenarnya hanya menelan kos RM10 juta akan dinaikkan kepada RM100 juta untuk memberi manfaat kepada kroni.

“Lebih-lebih lagi tiada pembidaan kompetitif. Kualiti projek juga dipersoalkan dan dalam jangka panjang mungkin memerlukan lebih banyak wang untuk pembaikan dan penyelenggaraan.

“Dalam masa sama, kebanyakan pelabur asing akan takut melabur di negara kapitalisme kroni berleluasa kerana mereka tidak berpeluang untuk mendapatkan tawaran perniagaan terbaik,” ujarnya.