WMS masih beroperasi, sediakan makanan percuma

WMS masih beroperasi sehingga hari ini dan menjadi tempat warga kota yang kurang mampu mendapatkan makanan percuma.
WMS masih beroperasi sehingga hari ini dan menjadi tempat warga kota yang kurang mampu mendapatkan makanan percuma.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Warung Makan Sahabat (WMS) yang ditubuhkan pada Julai 2020 ketika pandemik Covid-19 masih lagi beroperasi seperti biasa sehingga hari ini.

WMS yang diuruskan oleh Yayasan Amal Malaysia Cawangan Wilayah menjadi tempat bergantung warga kota yang kehilangan sumber pendapatan selepas tidak boleh bekerja disebabkan serangan pandemik tersebut.

Pengurus besarnya, Mohd Khairul Azman Md Daud berkata, bagi memastikan warga kota tidak kelaparan, pihaknya menyediakan 500 pek makanan tengah hari pada setiap hari termasuk bulan Ramadan.

Menurutnya, projek pemberian makanan percuma itu masih diteruskan sehingga hari ini walaupun semua warga kota sudah kembali mencari rezeki selepas negara beralih ke fasa endemik.

“Namun, masih ada yang belum mampu bekerja dan membeli makanan, sebagaimana di Chow Kit, ada dalam kalangan mereka yang berstatus gelandangan, asnaf, orang kurang upaya, mualaf dan ibu tunggal.

“WMS menjadi tempat untuk mereka mendapatkan makanan tanpa mengira agama dan bangsa,” ujarnya.

Jelasnya, setiap minggu WMS menerima kunjungan pelbagai pihak untuk menjalankan projek khidmat sosial masyarakat, menaja makanan dan aktiviti bersama kanak-kanak.

Tambahnya, WMS sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan terutama kewangan agar projek pemberian makanan percuma itu dapat diteruskan.

Artikel Berkaitan:

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5642-9432-5904 Yayasan Amal Malaysia (Warung Makan Sahabat) atau hubungi talian 019-634 2942.