Malaysia masih lagi bergantung kepada import bahan makanan

Mohamad Sabu. - Foto Bernama
Mohamad Sabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti cili, halia, kubis, mangga dan kelapa tidak mencapai kadar sara diri (SSR) 100 peratus bagi tahun 2021, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Merujuk kepada SSR bagi tahun tersebut, antara sayur-sayuran dan buah-buahan yang belum mencapai 100 peratus SSR ialah cili (29.3 peratus), halia (14.6 peratus), kubis (40.3 peratus), mangga (16.2 peratus) dan kelapa (69.6 peratus), katanya.

Justeru, katanya hala tuju subsektor tanaman telah dirangka dengan memberi keutamaan bagi meningkatkan pengeluaran hasil tanaman yang belum mencapai SSR 100 peratus bagi menjamin sekuriti makanan negara.

"Pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan tempatan perlu dipertingkatkan kerana SSR bagi tahun 2021 menunjukkan masih terdapat beberapa sayur-sayuran dan buah-buahan yang belum mencapai tahap 100 peratus," katanya.

Beliau berkata, demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin pada Majlis Perasmian Seminar Pelaburan Subsektor Tanaman Agromakanan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad berkata, imbangan perdagangan (BoT) dalam perdagangan sektor pertanian bagi bahan makanan bagi 2021 mencatatkan defisit berjumlah RM25 bilion dengan nilai eksport RM39 bilion dan nilai import RM64 bilion.

Statistik itu menunjukkan Malaysia masih lagi bergantung kepada pengimportan bahan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan beriklim sederhana dan sejuk, serta makanan haiwan bagi memenuhi keperluan domestik, katanya.

"Kebergantungan yang tinggi kepada makanan import perlu diminimumkan dalam usaha mempertingkatkan sekuriti makanan dan menstabilkan harga bekalan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam Belanjawan 2023, kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan insentif galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan sehingga akhir tahun 2025 dengan skop galakan turut diperluas merangkumi projek pertanian moden berasaskan pertanian persekitaran terkawal.

Di bawah inisiaitif itu, syarikat yang melabur dalam syarikat subsidiari yang menjalankan projek baharu pengeluaran bahan makanan diberi potongan cukai bersamaan dengan jumlah pelaburan yang dibuat bagi maksimum tiga tahun taksiran.

Syarikat yang menjalankan projek pengeluaran bahan makanan pula diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun selama 10 tahun bagi projek baharu dan lima tahun bagi projek pembesaran syarikat sedia ada.

"Pembabitan mereka ini boleh membantu dalam usaha mempertingkatkan sekuriti makanan dan menstabilkan harga bekalan dengan mengurangkan kebergantungan kita kepada makanan import," katanya dalam tempoh 2001 hingga bulan lepas, sebanyak 249 syarikat telah diluluskan insentif galakan cukai bagi projek pengeluaran bahan makanan dengan nilai pelaburan RM2.2 bilion.

Sementara itu, Chan dalam sidang media berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) sedang meninjau dan memantau kesan-kesan yang dihadapi golongan petani di seluruh negara susulan fenomena El Nino.

Beliau berkata, pemantauan rapi sedang dibuat membabitkan kawasan pengeluaran padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

"Kita kena pastikan saliran air adalah mencukupi untuk penghasilan padi dan beras dalam negara," katanya.

Jabatan Meteorologi (METMalaysia) baru-baru ini meramalkan Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei dan berterusan sehingga September ini yang akan menyebabkan taburan hujan lebih rendah berlaku di kebanyakan tempat.

Beberapa agensi meteorologi antarabangsa pula meramalkan pembentukan El Nino akan bermula pada pertengahan 2023 hingga awal 2024 dan banyak negara mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kesan buruk fenomena itu. - Bernama.