Malaysia perlu fokus ke arah timbang tara kewangan Islam

Sultan Nazrin Shah
Sultan Nazrin Shah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia, sebagai pusat kewangan Islam yang terkemuka sewajarnya terus memberi tumpuan kepada bidang penyelesaian pertikaian dalam kerangka umum Islam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah pada Khamis.

Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) mampu mengumpulkan kumpulan pakar dalam bidang ini dalam usaha negara menjadi hab pilihan di Asia, pakar dalam timbang tara kewangan Islam serta pertikaian dalam industri halal.

"Penimbangtaraan Islam menyediakan laluan unik kepada penyelesaian pertikaian secara baik untuk perniagaan.

"Dengan menyediakan kaedah tertutp dalam penyelesaian pertikaian disamping mengekalkan nama baik dikalangan pihak terkait, ini membantu menggalakkan hubungan perniagaan yang lebih stabil," titah baginda semasa ucaptama Persidangan Minggu Penyelesaian Pertikaian Alternatif Asia Keempat (ADR) 2022 AIAC di sini, pada Khamis.

Langkah-langkah boleh diambil untuk melatih mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang syariah, fiqh serta muamalat sebagai penimbang tara Islam dan ini akan membolehkan pertikaian diselesaikan tanpa perlu melibatkan majlis syariah atau pakar.

Ini akan menjadikan timbang tara Islam lebih menarik dan "lebih mudah" berbanding litigasi.

Titah Sultan Nazrin lagi, bagi membolehkan perkara itu, insentif serta laluan kerjaya perlu dirangka supaya graduan syariah dapat meneruskan kerjaya sebagai penimbang tara Islam agar bakat dan sumber manusia dapat dikembangkan dalam bidang syariat Islam.

Langkah-langkah juga boleh diperkenalkan dalam timbang tara konvensional, untuk memastikan Malaysia terus "membina kapasiti negara secara lebih meluas dalam semua bidang yang berkaitan dengan ADR."

Artikel Berkaitan:

Sekolah, kolej serta universiti boleh menggabungkan perbincangan berasaskan ADR sebagai sebahagian daripada kurikulum mereka manakala institusi latihan juga boleh digerakkan untuk berkongsi kemahiran dan membantu membangunkan pengamal ADR yang berkesan.

Sultan Nazrin dalam titahnya juga menjelaskan, badan kehakiman telah dan terus memainkan peranan penting dalam mempromosikan Malaysia sebagai bidang kuasa yang mesra terhadap timbang tara, malahan kehakiman negara secara konsisten telah mengambil pendirian pro-timbang tara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Dalam banyak kes, mahkamah telah meletakkan perjanjian timbang tara di tempat yang betul walaupun terdapat kelemahan kecil, ini menyokong pilihan pihak-pihak berkaitan yang mahu menyelesaikan isu-isu mereka dengan kaedah ini," katanya.

Penimbang tara pada mulanya dianggap sebagai alat untuk meringankan beban mahkamah dan ia bermula sebagai sistem pengawalseliaan dalam menyelesaikan pertikaian komersial berkaitan kontrak serta transaksi komersial antarabangsa.

"Mekanisme timbang tara telah berkembang daripada pematuhan berasaskan peraturan asal sehingga mampu memberikan fleksibiliti yang lebih besar.

"Ini membolehkan ADR menangani peningkatan kerumitan kes, yang kebanyakannya kini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dan tuntutan," titah baginda.

"Akibatnya, sektor berkenaan telah berkembang menjadi kaedah bebas dan lebih disukai bagi penyelesaian pertikaian serta jenis pertikaian yang dirujuk kepada timbang tara juga berubah.

"Ia tidak lagi terhad kepada isu kontrak dalam kontrak pembinaan, transaksi rentas sempadan, perdagangan dan pelaburan serta teknologi kewangan.

"Ia kini merangkumi tuntutan bukan kontrak pelbagai hala yang lebih kompleks seperti kedaulatan dan wilayah, rampasan harta termasuk hak asasi manusia antarabangsa," katanya.

Sultan Nazrin bertitah, rangka kerja pengawalseliaan yang dinamik diperlukan untuk memenuhi sifat kontrak yang kompleks dan berkembang serta tuntutan bukan kontrak yang kini ditangani melalui ADR.

AIAC berada pada kedudukan yang baik untuk berkhidmat sebagai kompas dalam melakar hala tuju melalui permukaan baharu dan mencabar ini. - Bernama