PN utus warkah kepada Agong kerana terdesak: Zahid

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Perikatan Nasional (PN) mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menangguhkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dianggap sebagai langkah terdesak dan ketakutan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan tersebut menunjukkan 12 menteri PN yang terlibat tidak berputus asa untuk mengekalkan jawatan mereka dalam kabinet.

"Betapa sayang mereka akan kedudukan dan jawatan yang ada sekarang hingga takut hilang kuasa mereka.

"Sudah pasti sebahagian besarnya terdiri daripada mereka bukanlah pemimpin yang berwibawa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.

Pada Khamis Sinar Harian melaporkan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan PRU15 pada tahun ini.

Mohd Radzi berkata, gabungan Menteri PN berpendapat kebajikan rakyat adalah tumpuan utama yang perlu diberi perhatian pada masa ini.

Dalam pada itu, Zahid menambah, tindak tanduk pemimpin PN sebelum ini mengecewakan pengundi mereka sendiri apabila ada yang kalah teruk dalam pilihan raya tetapi diangkat sebagai menteri.

Katanya, PRU15 pasti menjadi kebimbangan bagi ahli kabinet yang melompat parti kerana mereka tahu mereka akan dihukum oleh pengundi mereka sendiri.

Artikel Berkaitan:

"Pengundi marah ketika kempen PRU bercakap berdegar-degar dan janji pula melangit. Kata demi pengundi, demi parti disayangi. Akan tetapi apabila menang, melompat ke parti lain.

"Yang lompat parti dan menjadi menteri sekarang sedar bahawa peluang mereka untuk menang sangat tipis.

"Mereka juga sangat takut berdepan dengan pengundi mereka dahulu. Di mata pengundi mereka melihat mereka hidup segan, bertanding semula tak mahu," katanya.

Justeru, Zahid mendakwa mereka cuba kekalkan kuasa dan menangguhkan pilihan raya kerana takut kalah.

'Maka lebih baik kekal dengan jawatan dan kedudukan masa kini. Menikmati manfaat sebelum hilang kuasa," ujar beliau.

Pada masa sama, Zahid menegaskan UMNO dan BN tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pengkhianat parti.

"Jika mereka yang terlibat telah dikenal pasti, UMNO dan BN tidak teragak-agak untuk membuat tindakan dan masanya akan tiba nanti.

"Disiplin parti UMNO dan BN perlulah dipatuhi. Dalam suasana menjelang pilihan raya ini jangan ada pula cuba berkhianat dan menikam UMNO dari belakang," katanya.