Menteri PN utus warkah kepada Agong

Mohd Radzi. Foto Bernama
Mohd Radzi. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengesahkan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyatakan pendirian untuk tidak diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

Mohd Radzi berkata, gabungan Menteri PN berpendapat kebajikan rakyat adalah tumpuan utama yang perlu diberi perhatian pada masa ini.

"Saya boleh sahkan bahawa memang kami menteri daripada PN telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong memohon agar tidak dilaksanakan PRU15 pada masa terdekat," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kanan Pendidikan berkata, sebagai contoh banyak perkara yang perlu diselesaikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tempoh berbaki sebelum PRU15.

"Banyak perkara-perkara struktur yang kita ingin pastikan agar dapat dilaksana dengan baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022, di sini, pada Khamis.

Selasa lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarah agar menteri PN dalam kabinet menyatakan pendirian bahawa PRU15 tidak wajar diadakan tahun ini susulan Monsun Timur Laut akan bermula tidak lama lagi.

Sementara itu, ditanya mengenai adakah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetahui surat tersebut, Mohd Radzi berkata:

"Sudah keluar berita, beliau tahu la kot," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai senarai calon, beliau berkata pucuk pimpinan telah menerima nama yang dicadang oleh Bahagian Bersatu di seluruh negara.

"Sekarang ini, senarai calon sedang ditapis sebelum keputusan dibuat berkaitan calon dan kawasan yang dipertandingkan," katanya.

Ujarnya, bilangan kerusi yang akan ditandingi juga bergantung kepada keputusan parti.

"Banyak kriteria yang ditetapkan tetapi apa yang paling penting calon yang bersih dan berintegriti selaras dengan matlamat, dan objektif parti memperjuangkan sebuah negara yang penuh integriti, cekap pemerintahan dan mempunyai tadbir urus yang baik," katanya.

Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Calon Bersatu, beliau melihat pelbagai sudut, antaranya mengambil kira permintaan daripada sayap Srikandi yang mahu komposisi calon turut mengambil kira 30 peratus dalam kalangan wanita.