Air mata penaung KDA FC tumpah

Mohd Daud (kanan) melawat keluarga Nurhanis bersama pengurusan SMK Sik baru-baru ini. - Foto FB Mohd Daud Bakar
Mohd Daud (kanan) melawat keluarga Nurhanis bersama pengurusan SMK Sik baru-baru ini. - Foto FB Mohd Daud Bakar
A
A
A

ALOR SETAR - Penaung Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tidak dapat menahan sebak semasa menziarahi rumah seorang pelajar tingkatan tiga yang dihimpit kemiskinan di Sik baru-baru ini.

Beliau dibawa ke rumah Nurfatin Hanis Abdullah, 15, selepas majlis Ziarah Cakna peringkat Kedah bersama bersama semua Pegawai Pendidikan Daerah dari seluruh negeri ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Sik.

Menurutnya, pelajar tersebut yang cemerlang dalam akademik terpaksa menolak tawaran untuk belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kerana kerana perlu menjaga ibu bapanya yang tidak sihat selain menghantar dan mengambil adik-adiknya di sekolah.

"Pihak sekolah menceritakan kehidupan Fatin. Dia menghantar adik-adiknya pada awal pagi ke sekolah. Kemudian ambil pulang waktu tengah hari.

"Kadang-kadang Fatin tidak dapat hadir ke sekolah kerana hantar ayahnya membuat fisioterapi. Apa-apa pun, Fatin tetap cemerlang dalam pendidikan. Ibunya juga tidak sihat.

"Kelopak mata saya terasa berat. Air mata halus mula menolak keluar. Saya datang ke sebuah rumah yang berlubang-lubang tapi berjumpa seorang hero hebat. Unsung hero," katanya yang dipetik menerusi Facebooknya.

Tokoh kewangan Islam itu yang baru sahaja diumumkan sebagai penerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 membuat keputusan untuk mengambil pelajar tersebut sebagai anak angkat KDA FC yang pertama dan menanggung perbelanjaannya sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Jelasnya, kelab tersebut berbangga kerana dapat berjumpa dengan seorang pelajar yang sudah berbakti kepada kedua-dua orang tuanya walaupun masih di bangku sekolah.

Artikel Berkaitan:

"Saya sudah dimaklumkan latar belakangnya. Seorang pelajar yang cemerlang tapi miskin. Pihak sekolah menyediakan makanan di kantin secara percuma kepadanya. Saya juga sempat tengok buku catatan kos makanan Fatin di kantin antara RM2.50 ke RM4.80 setiap hari.

"Memang rumah mereka daif dan teruk. Tapi ramai lagi yang miskin. Ini fakta yang masih ada dalam masyarakat kita. Kita sahaja yang tidak mahu ambil tahu," ujar beliau yang dibawa menziarahi keluarga tersebut pada Ahad lalu.

Tambahnya, bapa Nurfatin Hanis lumpuh sebelah badan sebelah kanan manakala ibunya pula mengalami masalah kesihatan.