Harap budi bicara Agong, tangguh PRU15 tahun depan

Rodziah (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu LED di bawah program inisiatif bangunan hijau di Bandar Seri Putra di sini pada Khamis.
Rodziah (dua dari kiri) pada Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu LED di bawah program inisiatif bangunan hijau di Bandar Seri Putra di sini pada Khamis.
A
A
A

KAJANG - Timbalan Pengarah Pilihan Raya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Rodziah Ismail berharap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggunakan budi bicara untuk menangguhkan PRU15 pada tahun depan.

Rodziah berkata, Pakatan Harapan (PH) kekal pendirian mahu tempoh satu penggal pentadbiran dihabiskan dan tidak mahu dilaksanakan secara tergesa-gesa bagi mengelak risiko banjir.

Menurutnya, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran akan berlaku banjir di beberapa tempat seperti yang telah bermula di Johor dan Perak.

"Apakah jaminan (kerajaan) yang tidak akan berlaku banjir? Presiden UMNO begitu sombong dan yakin mengatakan PRU15 tidak akan berlaku semasa banjir.

"Semua benda kita tidak boleh ramal termasuk cuaca seperti tahun lepas, tiada siapa sangka akan berlaku banjir besar di Selangor," katanya mengulas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada Khamis.

Rodziah ditemui ketika Majlis Pelancaran Pemasangan Lampu LED di bawah program inisiatif bangunan hijau di Pangsapuri Vista Seri Putra, Bandar Seri Putra di sini.

Beliau berkata, parti politik seharusnya memberi ruang kepada rakyat untuk memilih tetapi UMNO dilihat mengambil kesempatan dengan keadaan cuaca tidak menentu bagi mempengaruhi jumlah keluar mengundi.

"UMNO seperti takut dengan bayang-bayang sendiri. Saya ingin ulang PRU14 majoriti undi memihak kepada PH namun kerajaan telah dicuri dan sekarang mahu ambil kesempatan dengan keadaan cuaca tidak baik ini untuk diadakan PRU15.

Artikel Berkaitan:

" Saya mengambil kesempatan ini untuk menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika Seri Paduka Baginda prihatin dengan masalah rakyat marhaen secara keseluruhan, kami mohon tuanku menggunakan budi bicara supaya PRU15 ditangguhkan ke tahun depan," katanya.

Ujarnya, tidak semua nasihat yang diberikan oleh Perdana Menteri itu wajar diterima sebaliknya kepentingan rakyat yang perlu lebih diutamakan.