SIAP bantu perkasa pendidikan generasi baharu Felda

Beruntungnya anak dan cucu peneroka yang dapat melanjutkan pengajian ke IPT

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Peranan yang dimainkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) amat besar kepada pembangunan sosioekonomi negara, termasuklah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan tanah serta aktiviti pertanian, perindustrian dan pembangunan sosial sejak 66 tahun lalu.

Namun, ia tidak terhenti setakat itu sahaja kerana Felda turut memainkan peranan dalam inisiatif pendidikan kepada generasi baharu Felda misalnya, banyak membantu dalam memperkasa pendidikan golongan berkenaan melalui pelbagai program dan bantuan yang dirangka, termasuk bantuan Skim Insentif Anak Peneroka (SIAP).

SIAP adalah bantuan one-off (sekali beri) yang diberikan kepada anak atau cucu peneroka yang berjaya memasuki universiti tempatan atau universiti swasta di peringkat diploma dan ijazah dalam negara atau ijazah luar negara.

SIAP banyak membantu para pelajar dari Felda menampung perbelanjaan pengajian mereka.
SIAP banyak membantu para pelajar dari Felda menampung perbelanjaan pengajian mereka.

Melalui bantuan ini, generasi baharu Felda yang berjaya melanjutkan pelajaran di peringkat diploma akan memperoleh bantuan sebanyak RM500 manakala bagi yang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah dalam negara sebanyak RM1,000 dan RM1,500 bagi ijazah luar negara.

Generasi baharu Felda Simpang Wa Ha, Johor, Nur Shyafiqa Aina Nazree merupakan antara warga Felda yang bertuah kerana memperoleh bantuan sebanyak RM1,000 menerusi SIAP.

Artikel Berkaitan:

NUR SHYAFIQA
NUR SHYAFIQA

Dia yang juga penuntut pengajian Sarjana Muda Sains Pendidikan (Kepujian) Matematik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Alam berkata, bantuan itu cukup bermakna dalam menampung perbelanjaan pengajiannya.

“Saya bersyukur apabila berjaya mendapat bantuan ini kerana memang sangat berharap”.

“Sebelum ini semasa belajar Diploma Sains Matematik di UiTM Segamat, saya mendapat bantuan daripada sebuah agensi. Tapi bagi pengajian di peringkat ijazah, agensi berkenaan tidak berikan bantuan kepada pelajar pendidikan.

“Jadi, saya membuat kerja sambilan untuk mendapat duit lebih bagi menampung keperluan pengajian serta makan minum saya. Alhamdulillah, duit SIAP ini saya gunakan untuk bayar yuran kolej, pengajian dan baki RM100 untuk duit belanja makan,” katanya yang juga cucu peneroka.

Nur Shyafiqa menambah, dia mengetahui tentang bantuan SIAP melalui perkongsian di tanah rancangan tentang bantuan-bantuan yang diberikan Felda dan kerajaan kepada golongan peneroka serta generasi baharu.

Jelasnya, dia mahu memanfaatkan segala bantuan yang diberikan dan belajar ke peringkat tertinggi dalam mengejar cita-citanya menjadi pensyarah dan menyumbang kembali kepada anak bangsa.

Generasi baharu Felda Trolak Selatan, Perak, Aryf Haikal Abd Rashid juga merupakan antara penerima bantuan SIAP berjumlah RM1,000.

ARYF HAIKAL
ARYF HAIKAL

Dia yang kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Seni Kulinari di UiTM kampus Puncak Alam berkata, bantuan yang diterima itu cukup bermakna dan berharga buatnya.

Jelas Aryf Haikal, dia memohon SIAP setelah mendapat tahu tentang bantuan itu daripada rakan-rakannya.

“Saya hanya mencuba nasib, mungkin ada rezeki saya. Apabila isi permohonan, saya tidak terlalu menaruh harapan kerana sedar mungkin ramai yang turut memohon.

“Tapi pada masa sama, saya sangat berharap kerana kursus yang saya ambil memerlukan banyak duit kerana kami bukan sahaja belajar teori tetapi ada praktikal. Ada bahan yang perlu dibeli sendiri dan tak boleh terlalu mengharapkan fakulti sediakan.

“Alhamdulillah, syukur apabila Felda beri RM1,000. Duit ini saya gunakan sepenuhnya untuk belajar. Terima kasih kepada Felda yang membantu meringankan beban kami, anak-anak generasi baharu khususnya dalam bidang pendidikan,” katanya yang juga cucu peneroka.

Aryf Haikal menambah, dia berhasrat untuk mencari pengalaman bekerja terlebih dahulu selepas menamatkan pengajian dan membuka perniagaan sendiri suatu hari nanti.