Waspada fenomena air pasang

Sayani (tengah) bergambar bersama kesemua wakil Pasukan Bomba Sukarela pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan PBS serta Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di Alor Setar, pada Rabu.
Sayani (tengah) bergambar bersama kesemua wakil Pasukan Bomba Sukarela pada Majlis Penyerahan Geran Bantuan PBS serta Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di Alor Setar, pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR – Orang awam diminta berhati-hati dengan perubahan cuaca termasuklah fenomena air pasang yang dijangka melanda kawasan tertentu berhampiran pantai dalam tempoh terdekat di negeri ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, dua kawasan di Kedah iaitu Kuala Kedah dan Kuala Muda dijangka berdepan risiko banjir berikutan fenomena air pasang.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kesemua anggota bomba di Kedah sentiasa dalam keadaan siap siaga dalam berdepan perubahan cuaca termasuklah fenomena air pasang tersebut.

“Kebiasaannya, air pasang akan naik dari paras buku lali ( 0.1 meter) dan paling tinggi hingga paras lutut (0.3 meter). Namun, sekiranya melebihi paras tiga meter maka ia berpotensi menjadi air pasang besar.

“Ditambah pula, sekiranya hujan lebat bertembung air pasang besar maka ia akan menyebabkan kemungkinan banjir yang lebih kritikal, jadi kena berhati-hatilah dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta Sijil Penarafan Bintang di Dewan Mohamad Adib Ibu Pejabat JBPM Kedah, Jalan Suka Menanti, di sini, pada Rabu.

Kata beliau, penduduk di kawasan terlibat perlu berpindah ke tempat tinggi dan menyelamatkan diri sekiranya menerima maklumat tentang kenaikan air paras tinggi serta secara mendadak akibat air pasang tersebut.

Sehubungan itu, menurut beliau, pihaknya turut melakukan pemantauan secara berkala di kawasan berhampiran pantai berkenaan yang berisiko berdepan fenomena air pasang terbabit.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Sayani menyatakan, pihaknya mendapati berlakunya kejadian lemas hingga mengorbankan nyawa seorang remaja melibatkan aktiviti riadah air di kawasan air terjun di Langkawi pada Isnin lepas.

Beliau menasihatkan orang awam supaya menghentikan aktiviti di luar sementara waktu untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga masing-masing berikutan perubahan cuaca itu.

“Kita harap masyarakat memberi kerjasama dengan tidak melakukan aktiviti luar ketika musim peralihan disebabkan taburan hujan banyak dan keadaan angin tidak menentu demi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,”katanya.

Dalam perkembangan sama, Sayani memaklumkan, pihaknya juga dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara apabila memasuki bulan Oktober.

Beliau memaklumkan, JBPM Kedah menerima laporan cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) setiap hari termasuklah jangkaan kadar taburan hujan lebat pada tempoh tertentu.

Sehubungan itu, menurutnya, pihak sentiasa bersedia daripada segi keanggotaan dan logistik, malah bekerjasama dengan pelbagai pihak dan lain-lain agensi dalam memantapkan lagi persedian hadapi MTL itu.

Tambah Sayani, beliau turut memastikan mana-mana jentera bomba yang kurang baik untuk dibaiki segera dalam menghadapi perubahan cuaca sama ada ribut, angin kuat ataupun banjir terbabit.

.