Muhammad Shafee mohon maaf kepada Mahkamah Tinggi, Sri Ram

Muhammad Shafee Abdullah dan Gopal Sri Ram - Foto Bernama
Muhammad Shafee Abdullah dan Gopal Sri Ram - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon maaf kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu namun mengulangi kenyataannya bahawa pendakwaan tidak mendedahkan maklumat transaksi hadiah daripada Arab Saudi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam itu berkata demikian semasa prosiding membabitkan bekas Perdana Menteri yang berdepan kes rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau turut memohon maaf kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram jika kenyataannya dalam satu sidang media, disalah erti.

Bagaimanapun, beliau berpendirian bahawa laporan yang dikeluarkan pihak media tepat dan tidak timbul isu tokok tambah.

“Tindakan saya itu tidak lebih kepada memberi respon pada soalan yang diajukan pihak wartawan mengenai dua transaksi daripada Arab Saudi pada 23 Februari dan 13 Jun 2011.

“Saya tetap akan berhubung dengan pihak media untuk memberikan penjelasan, jika ada keperluan,” katanya.

Sementara itu, Sri Ram berkata, tiada isu pembelaan sukar mendapatkan sebarang dokumen, tetapi perkara itu mesti dibangkitkan dalam mahkamah bukannya kepada media.

“Kalau ada sebarang aduan mengenai cara kami menjalankan pendakwaan, ia mesti dibuat di hadapan hakim dan bukannya di luar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mendengar perkara itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah meminta kedua-dua pihak supaya menyelesaikan persoalan yang dipertikaikan di mahkamah.

Pada Selasa, Sri Ram memberi amaran kepada Muhammad Shafee kerana mengeluarkan kenyataan media yang menuduh pendakwaan menyembunyikan maklumat mengenai surat transaksi wang daripada Arab Saudi kepada Ahli Parlimen Pekan itu.

Ia susulan tindakan Muhammad Shafee meluahkan rasa tidak puas hati atas kegagalan pihak pendakwaan mengemukakan empat surat berhubung lima transaksi wang hampir AS$180 juta ke akaun Najib dalam satu sidang media di mahkamah ini, Isnin lalu.

Najib, 69, menghadapi empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan jumlah yang sama.