[VIDEO] Dewan Rakyat: Najib boleh hadir dengan kebenaran penjara

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat, jika mendapat kebenaran Jabatan Penjara Malaysia.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa dalam menentukan kehadiran Najib ke Dewan Rakyat.

“Persoalannya sekarang adakah beliau boleh hadir? Itu bukan di bawah bidang kuasa saya kerana dia bukan di bawah jagaan saya. Ia di bawah jagaan penjara.

Maka terpulang kepada pihak penjara untuk melepaskan beliau daripada penjagaan tersebut. Itu bukan kuasa saya.

“Fahaman saya kalau pihak penjara melepaskan beliau dari penjagaan, maka penjara yang akan berikan syarat pelepasan tersebut,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohamed Hanipa Maidin (PH-Sepang) yang mencadangkan agar Najib dibenarkan hadir ke Parlimen, namun dengan tangan bergari, kerana beliau masih lagi seorang ahli Parlimen.

Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan menetapkan seseorang itu boleh hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun, dan denda lebih RM2,000.

Bagaimanapun, jika petisyen pengampunan difailkan dalam tempoh 14 hari dari sabitan dan hukuman, atau selepas pelupusan mana-mana rayuan atau prosiding mahkamah berhubung sabitan dan hukuman, kehilangan kelayakan itu hanya berkuat kuasa apabila petisyen itu dilupuskan, mengikut Perkara 48(4)(c).

Artikel Berkaitan:

Najib telah memfailkan pengampunan diraja dalam tempoh 14 hari selepas sabitan itu.