Malaysia berjaya kekalkan kerusi Majlis ICAO enam penggal

Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wee Ka Siong)
Gambar hiasan. (Gambar kecil: Wee Ka Siong)
A
A
A
KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya mengekalkan kerusi di dalam Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) di bawah Kategori III untuk penggal 2022 hingga 2025 semasa Perhimpunan Tritahunan ke-41 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa di Montreal, Kanada pada Selasa.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mengetuai delegasi negara ke perhimpunan itu berkata, ini menandakan Malaysia berada di dalam majlis ICAO untuk enam penggal berturut-turut sejak pertama kali dipilih pada 2007.

"Saya mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan kali ini untuk menjalankan pelbagai usaha melobi supaya Malaysia dapat mengekalkan kerusi Ahli Majlis ICAO di bawah Kategori III untuk penggal 2022-2025. Secara keseluruhan, Malaysia telah mengadakan sebanyak 44 mesyuarat dua hala dengan ketua delegasi dari pelbagai negara termasuk kumpulan serantau,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Hasil pengundian menunjukkan, Malaysia telah memperoleh 136 undi. Selain Malaysia, negara anggota ICAO lain yang berjaya memenangi pemilihan di bawah Kategori III ialah Bolivia (138), Chile (146), El Salvador (132), Equatorial Guinea (145), Ethiopia (154), Ghana (150), Jamaica (149), Mauritania (143), Qatar (160), Republik Korea (151), Romania (138), Emiriah Arab Bersatu (UAE) (161) dan Zimbabwe (148).

Dengan kejayaan tersebut, Ka Siong berkata, Malaysia komited untuk terus memberikan komitmen berterusan kepada ICAO untuk mempertahan dan menegakkan aspek-aspek keselamatan penerbangan awam, inovasi dan kemapanan penerbangan global menerusi pembangunan infrastruktur strategik bersama-sama dengan pembinaan keupayaan institusi untuk memenuhi keperluan generasi profesional penerbangan akan datang.
Artikel Berkaitan:


ICAO merupakan sebuah agensi khusus Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditubuhkan pada 1944 untuk mengurus pentadbiran dan tadbir urus Konvensyen mengenai Penerbangan Awam Antarabangsa, juga dikenali sebagai Konvensyen Chicago.