Liverpool tutup mulut pengkritik

Henderson (tengah) lega Liverpool mula bangkit meraih kemenangan. - Foto Agensi
Henderson (tengah) lega Liverpool mula bangkit meraih kemenangan. - Foto Agensi
A
A
A

LIVERPOOL menutup mulut pengkritik apabila The Reds keluar daripada aksi hambar selepas meraih kemenangan ke atas Rangers 2-0 dalam saingan Liga Juara-Juara di Anfield pada Rabu.

Kejayaan itu meredakan kemelut awal skuad bimbingan Jurgen Klopp dalam saingan domestik dan pentas Eropah.

The Reds hanya memenangi tiga daripada sembilan aksi Liga Perdana Inggeris dan kemenangan ke atas Rangers amat bermakna.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson berharap The Reds dapat 'menghentikan bunyi bising' apabila mula keluar daripada krisis keyakinan awal musim ini.

Sepakan percuma menakjubkan Trent Alexander-Arnold selepas hanya tujuh minit perlawanan meletakkan Liverpool di depan.

Liverpool berpeluang menambah jaringan, namun penjaga gol lawan berusia 40 tahun, Allan McGregor bertindak cemerlang di gawang.

Penalti Mohamed Salah pada awal babak kedua meletakkan Liverpool di kedudukan lebih selesa sekali gus menyaksikan Rangers masih kempunan untuk meraih mata pertama dalam Kumpulan A selepas tiga perlawanan.

Liverpool mendahului tiga mata berbanding Ajax yang tewas 1-6 di tempat sendiri kepada pendahulu kumpulan, Napoli.

Artikel Berkaitan:

"Ia tidak mudah. Anda cuba untuk mengelak daripada mendengar di media sosial terutamanya apabila melalui tempoh sukar samaada sebagai individu atau sebuah pasukan.

"Anda perlu hentikan bunyi bising dan fokus kepada apa yang anda lakukan setiap hari serta fokus apa yang kami mampu capai sebagai satu pasukan.

"Ia kadangkala boleh menjejaskan pemain tetapi anda perlu mencuba dan mencari cara untuk membakar semangat ketika di atas padang," ujar Henderson.

Klopp menyaksikan bagaimana Darwin Nunez terlepas untuk meledak gol pertamanya di Anfield selepas bintang Uruguay itu terlepas beberapa peluang terbaik.

"Inilah yang kami benar-benar mahukan. Ia adalah persembahan yang hebat dan mantap. Kadangkala anda perlu melakukan perubahan," kata Klopp yang menukar formasi 4-3-3 kepada 4-2-3-1.