United dapat tiket Liga Juara-Juara

Ten Hag. - Foto Agensi
Ten Hag. - Foto Agensi
A
A
A

ERIK ten Hag boleh menarik nafas lega apabila Manchester United mengesahkan tempat ke saingan Liga Juara-Juara musim depan selepas menewaskan Chelsea 4-1 di Old Trafford awal pagi Jumaat.

Kemenangan itu meletakkan Red Devils di kedudukan ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) sekali gus mengiringi sang juara, Manchester City, Arsenal dan Newcastle ke saingan elit pentas Eropah.

"Buat masa sekarang ia sudah sampai ke kemuncak tetapi kami mahukan lebih lagi,” kata Ten Hag.

Casemiro, Anthony Martial, Bruno Fernandes dan Marcus Rashford meledak buat United, manakala gol saguhati Chelsea hasil sentuhan Joao Felix.

Ten Hag mengharungi musim pertama yang hebat menerusi kedudukan empat teratas serta menamatkan kemarau trofi selama enam tahun menerusi Piala Liga pada Februari.

Red Devils juga berpeluang menambah satu lagi trofi sekiranya mampu menewaskan City pada final Piala FA awal bulan depan.

Bagaimanapun sasaran utama Ten Hag ialah berada dalam kelompok elit Eropah musim depan selepas mengambil alih pasukan yang menamatkan kempen 2021-22 di tangga keenam.

"Saya rasa ini musim yang berjaya tetapi ia belum berakhir. Kelab ini berhak berada dalam Liga Juara-Juara, tetapi liga ini sangat kuat dengan banyak kelab bersaing untuk merebut kedudukan terbaik.

"Sasaran utama ialah kembali ke Liga Juara-Juara. Ia perlawanan yang sukar, dibarisi pasukan yang amat bagus dan pengendali yang hebat. Jadi anda melakukan kerja yang bagus (untuk layak),” katanya.