Polis siasat video wanita mengaku dilantik Pengarah Kewangan KDN

PDRM
PDRM
A
A
A

SEPANG - Polis menjalankan siasatan berhubung seorang individu yang mendakwa dirinya dilantik sebagai Pengarah Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi satu video tular pada Isnin.

Ketua Polis Daerah (IPD) Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dijalankan susulan laporan polis dibuat oleh seorang individu yang merupakan pegawai kanan KDN berhubung video tersebut.

"Laporan dibuat individu tersebut setelah melihat rakaman video yang diterima menerusi satu pesanan WhatsApp memaparkan seorang wanita yang mendakwa telah dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.

"Pesanan tersebut turut mengandungi tangkap layar Laman Web KDN yang telah diubah suai dengan menyatakan wanita berkenaan sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, pengadu telah membuat laporan polis di IPD Putrajaya.

"Pegawai telah menghubungi pengadu dan pengadu memaklumkan akan tampil memberikan keterangan.

"Tujuan laporan polis dibuat adalah sebagai penafian bahawa pihak KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan tersebut sememangnya tidak pernah wujud," katanya.

Ujar Wan Kamarul, siasatan lanjut berkaitan kes ini masih dijalankan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat dibawah Seksyen 170/419 Kanun Keseksaan," katanya.

Pada Selasa, tular video yang dimuat naik menerusi satu halaman di media sosial memaparkan mengenai seorang wanita yang mendakwa dirinya dilantik Pengarah Bahagian Kewangan KDN.