Tular video wanita halang kereta bergerak

Tangkap layar video tular mengenai kejadian itu pada Ahad. - Foto Ttwitter
Tangkap layar video tular mengenai kejadian itu pada Ahad. - Foto Ttwitter
A
A
A

PORT DICKSON - Polis menggesa individu yang terlibat dalam kejadian tular yang memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kereta yang sedang bergerak semasa di sebuah lampu Isyarat, di Batu 1 di sini tampil membuat laporan polis.

Timbalan Ketua Polis daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, pihaknya telah mengesan satu video berdurasi 33 saat pada Ahad jam 9.43 pagi yang dimuat naik oleh seorang pengguna akaun Twitter berhubung kejadian tersebut.

" Kejadian itu berlaku di persimpangan lampu Isyarat Batu 1, Port Dickson, Negeri Sembilan. Perbuatan dan tingkah laku yang dilakukan oleh Wanita tersebut boleh membahayakan diri sendiri serta mendatangkan kerisauan terhadap orang awam.

"Setakat ini, pihak polis masih belum menerima apa-apa laporan polis yang dibuat daripada Individu berkenaan berhubung dengan Insiden yang berlaku," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis menggesa individu tersebut supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Port Dickson atau balai polis berdekatan bagi membuat laporan.

"Kami juga menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan menggugat ketenteraman awam.

"Penyebaran sedemikian adalah menjadi satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Menerusi ciapan yang dimuat naik itu, pemilik akaun Twitter tersebut menyatakan ' tak tahu apa yang berlaku, hope (harap) dipermudahkan segala urusan akak tu'.

Kereta dalam video tersebut dilihat bergerak perlahan sebaik lampu isyarat bertukar hijau selepas ia dihalang oleh wanita berkenaan, bagaimanapun menyusur ke tepi jalan dan tiada maklumat lanjut mengenainya.

Ia kemudiannya mendapat 502,500 tontonan dengan 1,493 diulang ciap, dan 3,148 tanda suka malah mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial tersebut.

Salah seorang daripadanya menulis "Semoga Allah permudahkan segala urusan mereka. Dugaan hari raya tu.. Semoga semuanya baik-baik saja,".

Seorang lagi pelayar turut berharap urusan wanita tersebut dipermudahkan.

"Moga dipermudahkan segala urusan mereka tapi yang musykil takde ke sapa-sapa yang sudi nak tolong tolakkan kereta tu sampai ke tepi jalan ngeri dowh akak tu main tahan gan perut kereta tu mau pecah lemak2 makan lemang ketupat rendang lontong kuih kacang," tulisnya dengan meletakkan emoji menangis.