520 lokasi 'hotspot' banjir di Sabah

Jauteh ketika hadir sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan menghadapi bencana banjir peringkat Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.
Jauteh ketika hadir sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan menghadapi bencana banjir peringkat Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 520 lokasi di Sabah dikenal pasti sebagai 'hotspot' berpotensi akan dilanda banjir ekoran fenomena monsun timur laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, fenomena monsun timur laut itu dijangka akan menyebabkan luruhan hujan, ribut petir serta angin kencang yang akan berlaku di seluruh negeri ini.

Katanya, sebagai persediaan menghadapi bencana banjir di Sabah, mesyuarat penyelarasan menghadapi bencana banjir diadakan bersama dengan pelbagai agensi di negeri ini.

"Kita telah mengenal pasti terdapat 520 kawasan berpotensi akan dilanda banjir sekiranya berlaku luruhan hujan yang berterusan dan kita akan beri keutamaan kepada kawasan yang sering dilanda banjir.

"Antaranya Beluran, Kinabatangan, Pitas dan Beaufort. Kawasan ini yang kerap berlaku banjir dan ini akan menjadi keutamaan kita," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan menghadapi bencana banjir peringkat Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Selasa.

Beliau turut berkata, hasil mesyuarat yang diadakan semua agensi yang terlibat telahpun memberikan komitmen dan juga statistik dari segi aset serta keanggotaan masing-masing.

"Untuk bot saja kita menjangkakan sebanyak 300 hingga 400 yang kita sediakan daripada pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

"Bagaimanapun, aset ini bergantung kepada keadaan semasa, saya tidak boleh beri secara spesifik berapa yang boleh digerakkan sebab ia bergantung kalau di suatu kawasan itu berlaku bencana kita tidak boleh gerakkan di semua tempat itu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai persediaan jika dalam tempoh bencana berlaku turut diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), Jauteh menjelaskan bahawa pihaknya bersedia untuk kedua-dua keadaan itu.

"Ini juga kita bincangkan, sekiranya dalam tempoh itu juga berlaku PRU, Insya-ALLAH kita akan pastikan bahawa kita tidak akan menghadapi masalah, kita tidak akan mengadapi kekangan dari segi logistik atau keanggotaan untuk menanggani kedua-dua ini.

"Semua jabatan ini sudah membuat perancangan contohnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) kita sudah tetapkan seramai 1,067 anggota untuk monsun timur laut dan untuk PRU juga ada," katanya.

Sebelum itu, Jauteh berkata, selain PDRM, agensi yang terlibat termasuklah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Meteorologi, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Malaysian (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan NGO lain.