123 barang makanan disita dalam Ops Label

Penguat kuasa BKKM JKNT menampal notis pada salah satu barang makanan yang disita dalam Ops Label di negeri ini. - Foto JKNT
Penguat kuasa BKKM JKNT menampal notis pada salah satu barang makanan yang disita dalam Ops Label di negeri ini. - Foto JKNT
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menyita sebanyak 123 barang makanan bernilai RM408.10 dalam Operasi Khas Aktiviti Penguatkuasaan Pelabelan Makanan (Ops Label).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, lima notis kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985 turut dikeluarkan dengan nilai kompaun ditawarkan berjumlah RM15,500.

Menurutnya, antara kesalahan yang berjaya dikesan adalah menjual makanan import yang tidak mengandungi label bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris serta nama dan alamat pengimport tidak lengkap.

“Ops Label telah diadakan selama sembilan hari bermula 20 September lalu melibatkan 48 penguat kuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNT, sepanjang tempoh itu sebanyak 52 premis telah diperiksa.

“Operasi ini bertujuan memastikan pematuhan aspek pelabelan bagi produk makanan yang dijual di premis jualan merangkumi pemborong, pasar raya, kiosk, pasar mini dan kedai runcit,” katanya di sini pada Selasa.

Dr Kasemani berkata, Ops Label dilaksanakan bagi memastikan penjualan setiap produk makanan berbungkus termasuk yang diimport mematuhi peraturan label makanan.

Katanya, JKNT sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh menyebabkan kekeliruan dalam penjualan produk makanan kepada pengguna dan operasi ini akan diteruskan agar tahap keselamatan serta kualiti makanan di negara ini terkawal.

“Pengusaha dan penjual diingatkan supaya sentiasa memastikan label produk makanan yang dipasarkan mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan- peraturan Makanan 1985 sebagaimana ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

“Pematuhan ini penting bagi mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang termasuk sitaan produk dan notis kompaun di atas kesalahan pelabelan makanan,” katanya.