Kes baharu Covid-19, kematian turun minggu lepas

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 12,291 kes baharu Covid-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-39 (ME39/2022) iaitu dari 25 September hingga 1 Oktober berbanding 12,963 kes pada ME38/2022, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Angka kes baharu berkenaan menunjukkan penurunan sebanyak 5.2 peratus.

Beliau berkata, pada ME 39, bilangan kes tempatan menyusut 5.2 peratus kepada 12,260 berbanding 12,934 kes pada ME 38 manakala kes import pula meningkat 6.9 peratus kepada 31 kes berbanding 29 kes pada tempoh sama.

"Kes kematian Covid-19 pada ME 39 menurun sebanyak 35 peratus kepada 26 kes daripada 40 kes pada ME38 sementara purata kes aktif setiap hari bagi minggu sama menurun 2.5 peratus kepada 24,713 kes berbanding sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bilangan kes sembuh pada ME 39 pula menunjukkan penurunan 8.4 peratus kepada 12,534 kes daripada 13,677 kes pada ME 38, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, perbandingan data CAC fizikal dilaporkan pada ME 38 dan ME 39 menunjukkan bilangan kedatangan pesakit ke CAC berkurangan sebanyak sembilan peratus sementara bilangan kes Covid-19 yang menjalani pemantauan di rumah turun 53.5 peratus.

Untuk trend kes aktif harian Covid-19 yang dipantau secara maya (CAC maya) pada akhir ME 39, ia turun 10.8 peratus kepada 27,486 kes berbanding 30,819 kes pada akhir ME 38, katanya.

Menurut beliau, bilangan kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke hospital pula telah meningkat sebanyak 8.2 peratus pada ME 39.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah kemasukan Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 39 berbanding ME 38 mencatatkan penurunan sebanyak 7.7 peratus bagi pesakit kategori satu dan dua manakala pesakit kategori tiga, empat dan lima turun 13.0 peratus.

Menurut Dr Noor Hisham, peratus pengisian katil Covid-19 pada ME 39 berbanding ME 38 turun satu peratus bagi katil bukan kritikal, turun tiga peratus bagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kekal hampir sebanyak sifar peratus bagi katil Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan juga menunjukkan penurunan 0.4 peratus pada ME 39 berbanding ME 38, katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 1 Oktober 2022 (ME 39/2022) kumulatif kes baharu Covid-19 ialah 4,842,505 kes dengan kumulatif kes sembuh 4,781,138 kes.

Kumulatif kes kematian Covid-19 ialah 36,374 kes sementara kumulatif kluster sebanyak 7,081 kes dengan 13 kluster masih aktif, katanya. - Bernama