Kerajaan teliti cadangan tambah baik pengajian KAFA

Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Putik pada Ahad.
Ahmad Marzuk (kiri) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima semasa merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Putik pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan bersedia untuk meneliti sebarang cadangan berkait dengan penambahbaikan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) termasuklah menyerapkan pengajian itu dalam kelas harian persekolahan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kajian secara menyeluruh perlu dilakukan terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai aspek dan kepentingan termasuklah kebajikan guru KAFA yang sedia ada dan muridnya.

"Perkara ini kita tidak boleh laksanakan secara terus. Macam mana kita hendak terapkan silibus mata pelajaran KAFA dalam kelas pengajian pada waktu pagi.

"Kita perlu mengambil kira banyak perkara penting supaya para murid yang terlibat tidak terjejas," katanya ketika diminta mengulas kenyataan sesetengah pihak termasuk ibu bapa supaya murid sekolah rendah tidak terus dibebankan dengan jadual pembelajaran yang terlampau padat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang akhbar selepas merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Putik pada Ahad.

Ahmad Marzuk memberitahu, pihaknya ada menerima beberapa cadangan berkait perkara tersebut.

Katanya, bagaimanapun tiada sebarang perbincangan lanjut diadakan kerana ia masih lagi di peringkat penelitian.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, kementerian Pendidikan (KPM) dan kerajaan negeri wajar berbincang bagi mencari mekanisme dan jalan penyelesaian supaya murid sekolah rendah tidak terus dibebankan dengan jadual pembelajaran yang terlampau padat.

Artikel Berkaitan:

Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia, Jasni Md Kechik berkata, isu murid penat dan terbeban dengan tugasan di sekolah rendah dan KAFA adalah masalah yang tiada berkesudahan sejak dahulu.

Menurutnya, meskipun KAFA bukan program yang diwajibkan KPM, namun ibu bapa dalam dilema memandangkan hanya Sijil Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dikira merit untuk kemasukan ke sekolah menengah agama.