Rusuhan: Liga 1 Indonesia digantung seminggu

Laporan Sinar Harian. Gambar kanan: Mochamad Iriawan. - Foto Agensi
Laporan Sinar Harian. Gambar kanan: Mochamad Iriawan. - Foto Agensi
A
A
A

PERSATUAN Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengambil tindakan tegas apabila menggantung Arema FC daripada menjadi tuan rumah aksi Liga 1 Indonesia hingga tamat saingan musim ini ekoran rusuhan penyokong yang mengorbankan 127 nyawa.

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan menegaskan bahawa pihaknya juga menghentikan sebarang aksi liga untuk tempoh seminggu.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat keputusan untuk mengambil tindakan di atas keganasan itu kerana ia merupakan satu insiden yang sangat serius sehingga ada nyawa yang melayang.

“Sebagai tindakan segera, saingan liga akan dihentikan seketika selama satu minggu dan Arema FC dilarang untuk menjadi tuan rumah bermula perlawanan akan datang sehingga tamatnya saingan liga,” ujar Iriawan.

Dalam rusuhan itu dilaporkan kira-kira 127 penyokong terkorban, manakala berpuluh lagi cedera selepas perlawanan Liga 1 Indonesia melibatkan antara tuan rumah, Arema FC dan Persebaya Surabaya pada Sabtu.

Iriawan berkata, pihaknya memberi sokongan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut sehingga ia selesai sepenuhnya.

"PSSI cuba menangani kes berkenaan yang disifatkan sebagai sangat dahsyat," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa kerana insiden tersebut telah menconteng arang kepada arena bola sepak setelah mereka bersusah payah menaikkan nama Indonesia dalam sukan tersebut di mata dunia.

Artikel Berkaitan:

“PSSI sangat kesal dengan insiden keganasan yang berlaku ini. Kami turut berduka cita dengan keluarga mangsa dan ingin meminta maaf atas segalanya.

“Atas sifat tanggungjawab kami akan menubuhkan satu pasukan siasatan khas dan segera bergerak di sana untuk menyelesaikannya,” tambah Iriawan.

Insiden keganasan itu didakwa mula berlaku dengan melibatkan ratusan penyokong menyerbu masuk padang sejurus wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Tindakan ganas itu kemudian mendapat perhatian serius pihak polis yang berada di stadium dan mereka mula mengawal keadaan tersebut daripada lebih buruk.

Pihak polis kemudian melepaskan gas pemedih mata kepada penyokong yang bertindak ganas di kawasan padang bagi meleraikan rusuhan, namun situasi bertukar menjadi semakin kecoh.

Marah dengan tindakan itu, didakwa beberapa penyokong bertindak liar apabila kenderaan polis turut menjadi mangsa amukan mereka.

Selain mengorbankan nyawa, beberapa kemudahan di stadium turut mengalami kerosakan setelah dibakar oleh sekumpulan penyokong.