LIMA’23: Sikap profesional Kedah selaku tuan rumah terserlah

Ahmad Yahaya
Ahmad Yahaya
A
A
A

ALOR SETAR - Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) menyerlahkan sikap profesional Kedah selaku tuan rumah acara pameran maritim dan aeroangkasa terbesar di dunia itu.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Ahmad Yahaya berkata, segala tumpuan dan usaha dicurahkan sepenuhnya bagi memastikan penganjuran LIMA’23 berjalan dengan lancar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, perbezaan pandangan yang timbul sebelum ini turut diketepikan.

"Pas Kedah menghargai usaha jitu kerajaan negeri yang bertungkus lumus memastikan persediaan rapi dalam menganjurkan LIMA’23.

"Sikap profesional ditunjukkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, barisan Exco serta penjawat awam negeri seharusnya mendapat pujian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sehubungan itu, Ahmad berkata, Pas Kedah turut menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) segera menyediakan ‘blueprint’ Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia 2030 mengambil aspirasi penganjuran LIMA’23.

"Ini bagi memastikan langkah strategik menjadikan Malaysia sebagai hab industri aeroangkasa serantau dan destinasi rantaian bekalan aeroangkasa di peringkat global dapat direalisasikan,"katanya.

Tambah beliau, pemeteraian terhadap projek mega Kedah Aerotropolis juga tidak seharusnya dilengahkan memandangkan ia juga bakal menjadi pemangkin ke arah cita-cita yang digariskan dalam pelan induk aeroangkasa tersebut.

Beliau menyifatkan, pembangunan Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM) merupakan titik penting bagi memastikan tapak asas perkembangan industri aeroangkasa dalam negara.

Menurut Ahmad lagi, bidang aeroangkasa terkandung dalam SLAM memberi tumpuan terhadap pembuatan avionik serta bahagian dalaman pesawat dan aktiviti Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) dan komponen berkaitan.

"Justeru, pembangunan SLAM dalam Kedah Aerotropolis bakal menjadi tunjang utama kepada industri aeroangkasa negara,"katanya.