'Serangan serangga kali ini luar biasa'

Masalah serangan serangga menjejaskan hasil durian musang king kali ini. Gambar kecil: Lock Keam Wai (kanan) dan Chang Yee Chin.
Masalah serangan serangga menjejaskan hasil durian musang king kali ini. Gambar kecil: Lock Keam Wai (kanan) dan Chang Yee Chin.
A
A
A

RAUB - Pekebun durian musang king di Raub kini terpaksa menanggung kerugian berikutan kekurangan hasil durian akibat serangan serangga selain faktor cuaca tidak menentu sejak beberapa bulan lalu.

Chang Yee Chin, 40, dari Sungai Lui di sini mengakui terpaksa menanggung kerugian lebih 50 peratus dengan nilai kira-kira RM80,000 semusim kali ini.

Menurutnya, masalah serangan serangga di kebun miliknya berlaku sejak Februari lalu dan mendakwa ia lebih teruk berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Memang serangan kali ini luar biasa kerana kebiasaan pada bulan Julai, Ogos akan berlaku masalah sebegini tapi jumlah buah masih lebat berbanding sekarang," katanya.

Keadaan daun pokok durian akibat serangan serangga sejak beberapa bulan lalu.
Keadaan daun pokok durian akibat serangan serangga sejak beberapa bulan lalu.

Bagi seorang lagi pengusaha, Lock Keam Wai, 47, dari Tras di sini turut terkejut kerana pertama kali berdepan situasi itu yang disifatkan paling buruk pernah berlaku.

Ujar Keam Wai, serangan serangga tersebut berlaku sejak Julai lalu menjejaskan pekebun kecil sepertinya.

"Boleh dikatakan hampir 50 pokok yang terkena serangan ini. Pelik kali ini serangan berlaku berulang kali walaupun sudah letak ubat, tidak seperti biasa.

Artikel Berkaitan:

"Jadi pekebun kecil seperti kami perlu mengeluarkan belanja lebih membeli racun selain terpaksa berdepan kekurangan hasil durian," katanya yang mengambil alih kebun milik keluarganya sejak lima tahun lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui memberitahu, satu perbincangan akan dilakukan bersama pekebun-pekebun terlibat susulan situasi terkini yang dihadapi mereka.

Chow Yu Hui
Chow Yu Hui

"Kita juga kemungkinan akan membawa isu ini ke sidang dewan nanti untuk menarik perhatian daripada kerajaan Pahang," katanya.

Sebelum ini, laporan media tempatan mendedahkan lebih 30,000 pekebun musang king di Raub berputih mata apabila pokok durian diusahakan mereka mengalami kekurangan hasil sehingga lebih 60 peratus untuk bulan Mei hingga Ogos lalu.

Masalah tersebut terjadi disebabkan serangan serangga jenis koya dan faktor cuaca yang tidak menentu menyebabkan bunga durian gugur.