Projek tebatan banjir: Reman pegawai MBSA disambung lagi

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang pegawai kanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dilanjut reman empat hari untuk siasatan berkaitan kes projek tebatan banjir mega.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, pegawai berusia awal 40-an itu sebelum ini ditahan pada 24 September lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Menurutnya, pegawai itu kemudian direman enam hari sehingga Jumaat.

"Reman pegawai itu kemudian disambung empat hari bermula Sabtu untuk siasatan lanjut," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, Hishamuddin mengesahkan penahanan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor bagi membantu siasatan kes terbabit.

Difahamkan, Zamani ditahan pada Rabu sebelum dilepaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan pada hari sama.

Memetik kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada Khamis, setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal SPRM mendapati terdapat pegawai kanan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerima habuan barangan berharga bernilai puluhan ribu ringgit

Artikel Berkaitan:

SPRM turut menjalankan siasatan berhubung bagaimana sebuah syarikat mampu mengawal 30 syarikat lain untuk mendapatkan projek di jabatan di MBSA.