Projek tebatan banjir: Empat lagi pegawai MBSA ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lagi pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipercayai berkaitan siasatan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.

Menurut sumber, empat pegawai lelaki berusia lingkungan 32 hingga 47 tahun itu ditahan pada Sabtu dan Ahad lalu.

"Kesemua mereka ditahan selepas hadir untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Tiga individu kemudian direman selama lima hari manakala seorang lagi direman enam hari masing-masing bermula Ahad serta Isnin," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Tambah sumber, siasatan masih dijalankan dan tidak tolak kemungkinan akan ada tangkapan baharu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan empat pegawai terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Sabtu lalu, Sinar Harian melaporkan tiga pegawai pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit dan seorang kontraktor telah ditahan susulan serbuan SPRM di MBSA, Shah Alam pada 19 September.

Susulan itu, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor mengesahkan serbuan berkenaan dan akan mengeluarkan kenyataan selepas agensi berkenaan mendapat laporan penuh daripada SPRM.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan salah seorang wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang enggan dikenali mengatakan bahawa serbuan yang dibuat oleh SPRM dipercayai mempunyai kaitan dengan projek tebatan banjir.