MBSA nafi Datuk Bandar ditahan SPRM

Shahrin (Gambar kecil: Datuk Zamani Ahmad Mansor )
Shahrin (Gambar kecil: Datuk Zamani Ahmad Mansor )
A
A
A
SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan Datuk Bandarnya, Datuk Zamani Ahmad Mansor ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap tender projek tebatan banjir.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, Zamani hanya dipanggil oleh pihak SPRM untuk membantu siasatan pada petang Rabu.

Menurutnya, beliau kemudiannya kembali melaksanakan kerja seperti biasa di pejabat pada Khamis.

"Pihak MBSA juga ingin menegaskan bahawa akan sentiasa sedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu melengkapkan siasatan dengan pihak SPRM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Sinar Harian pada hari sama melaporkan SPRM berjaya membongkar satu kartel yang dipercayai memonopoli tender projek di MBSA susulan serbuan di pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu pada Ahad lepas.
Artikel Berkaitan:


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini sembilan individu termasuk beberapa kakitangan MBSA dan seorang pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan.

Ahad lalu, SPRM menahan empat lagi pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dipercayai berkaitan siasatan kes projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.