Beri alasan sakit, Gabenor Papua 'elak' siasatan kes rasuah?

Enembe dikatakan turut memohon kebenaran mendapatkan rawatan di Singapura. - Foto: Agensi
Enembe dikatakan turut memohon kebenaran mendapatkan rawatan di Singapura. - Foto: Agensi
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia memaklumkan ia akan memanggil Gabenor Papua, Lukas Enembe buat kali ketiga selepas beliau didakwa terlibat kes rasuah.

"Beliau yang telah dinamakan sebagai suspek akan dipanggil sekali lagi," kata Ketua Bahagian Media KPK, Ali Fikri pada Khamis tanpa memberikan sebarang tarikh yang sudah ditetapkan.

Menurutnya, badan antirasuah itu berharap Enembe, 55, akan memberikan kerjasama setelah beliau gagal hadir pada Isnin lalu atas masalah kesihatan.

Sebelum ini, Enembe dikatakan turut memohon kebenaran mendapatkan rawatan di Singapura, namun KPK mengarahkan gabenor berkenaan untuk hadir di ibu pejabat mereka di Jakarta bagi disoal siasat selain penilaian secara terus terhadap keadaan kesihatannya akan dilakukan pasukan doktor bebas daripada Persatuan Perubatan Indonesia (IDI).

Difahamkan, Enembe telah dipanggil oleh KPK buat pertama kali pada Ogos lalu setelah menerima maklumat tentang penglibatannya dalam kes rasuah berjumlah 1 bilion rupiah (RM304,757).

Beliau didakwa menerima 'ganjaran' daripada entiti swasta yang mahu mendapatkan bidaan kontrak perolehan barangan dan perkhidmatan.

Sementara itu, Menteri Penyelaras bagi Hal Ehwal Politik, Undang-undang dan Keselamatan, Mahfud MD mendedahkan Enembe juga terlibat dalam kes korup lain seperti pengubahan wang haram dan salah urus dana operasi wilayah Papua.

Pusat Pelaporan dan Analasis Transaksi Kewangan (PPATK) turut mendakwa siasatan awal mereka berjaya menemui transaksi mencurigakan dibuat Enembe berjumlah ratusan bilion rupiah antara 2017 dan 2022.

"Salah satu daripadanya ialah deposit tunai di kasino perjudian berjumlah 560 bilion rupiah (RM171 juta). Selain itu, terdapat juga deposit tunai luar biasa dalam waktu singkat berjumlah AS$5 juta (RM23 juta)," ujar Ketua PPATK, Ivan Yustiavandana sambil menambah mereka mengesan aktiviti perjudian Enembe di dua negara dan salah satunya di Singapura.

Transaksi lain yang turut dipersoalkan ialah melibatkan pembelian jam tangan bernilai 550 juta rupiah (RM167, 212).

Enembe yang memegang jawatan untuk penggal kedua bakal menamatkan perkhidmatannya pada tahun depan.

Beliau pertama kali dilantik di bawah pentadbiran bekas Presiden Susilo Bambang Yudhoyono pada 2013 dan dikatakan sentiasa mempamerkan gaya hidup mewah walaupun Papua dikenali secara meluas sebagai wilayah paling miskin di Indonesia. - Agensi