Lebih 2.2 juta saman tertunggak di Johor sejak 2014

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A


JOHOR BAHRU - Sebanyak 2.2 juta saman tertunggak direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor membabitkan pelbagai kesalahan trafik termasuk melibatkan warga Singapura bagi tempoh 2014 sehingga kini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak 109,758 saman melibatkan warga Singapura.

"Sebanyak 23.5 peratus saman warga Singapura ini sudah dijelaskan manakala 76.4 peratus lagi belum dijelaskan.

"Secara keseluruhan kita mengeluarkan 2.3 juta saman sejak 2014 sehingga kini dan setakat ini hanya 600,000 saman sudah dijelaskan. Antara saman paling banyak adalah memandu laju melebihi had dan kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum pelepasan konvoi bagi Program Ramah Mesra PDRM Johor Bersama Brother Motor di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Jumaat.

Justeru sempena program pengurangan saman PDRM Johor sebanyak 50 peratus yang bermula pada Jumaat hingga 2 Oktober ini, beliau berharap semua pesalah trafik mengambil peluang itu untuk menjelaskan saman.

Katanya, orang ramai boleh berurusan di balai trafik di 13 daerah yang bermula jam 8.30 pagi sehingga 5 petang setiap hari.

Mengenai program berkenaan, beliau berkata, tujuannya untuk menyantuni, memberi nasihat dan beramah mesra dengan penunggang motosikal supaya menunggang dengan berhemah serta mematuhi peraturan jalan raya.

Jelasnya, ini kerana kemalangan maut membabitkan motosikal sering berlaku di negeri ini dan diharap program berkenaan akan memberi kesan selain menggalakkan orang ramai membayar saman.
Artikel Berkaitan:


"Program ini mengambil masa tiga hari sejauh 734 kilometer. Kita juga akan memberi sumbangan ikhlas kepada golongan kurang bernasib baik terutama anak-anak yatim dan fakir miskin," katanya.