Elak pengkhianatan berulang pada PRU15

kos untuk mengadakan PRU15 mencecah sehingga RM1.5 bilion jika ia dilaksanakan tahun ini. Foto hiasan
kos untuk mengadakan PRU15 mencecah sehingga RM1.5 bilion jika ia dilaksanakan tahun ini. Foto hiasan
A
A
A

KITA dimaklumkan bahawa kos untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mencecah sehingga RM1.5 bilion jika ia dilaksanakan tahun ini.

Alasan diberikan terhadap kenaikan kos itu kerana terdapat negeri enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak, selain jumlah pengundi yang meningkat susulan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi.

Persoalannya, berbaloikah negara berhabis berbilion ringgit untuk meraikan demokrasi berparlimen sebelum tempoh sebenar penggal tamat?

Pilihan raya perlu diadakan bagi memenuhi tuntutan demokrasi untuk memilih wakil dalam kalangan rakyat berada di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang, selain mengisi jawatan eksekutif untuk mengurus pentadbiran sesebuah kerajaan.

Kumpulan atau parti yang memiliki majoriti kerusi dimenangi pada pilihan raya akan membentuk kerajaan, sama ada di peringkat pusat atau negeri, seterusnya mentadbir dalam tempoh maksimum selama lima tahun.

Bagaimanapun, selepas PRU14, insiden lompat-melompat parti dalam kalangan wakil rakyat dipilih menyebabkan parti yang menang tidak sempat untuk kekal mentadbir sehingga habis penggal.

Bukan itu sahaja, Malaysia turut mencipta rekod mendapat tiga Perdana Menteri dalam masa empat tahun di bawah pentadbiran dua gabungan parti politik iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Saiz pentadbiran juga turut berubah daripada 55 anggota kabinet kepada 70 orang menteri dan timbalan menteri ketika kerajaan bertukar atas alasan menjamin kestabilan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Di sebalik kos mengadakan PRU14 hanya sekitar RM500 juta, negara terpaksa menanggung perbelanjaan lebih besar – menanggung pendapatan anggota kabinet kesan pengkhianatan wakil rakyat berkenaan.

Itulah yang turut menjadi kerisauan rakyat dengan kos dikeluarkan untuk mengadakan PRU15 sebesar belanjawan tahunan sesetengah negeri, mungkin akan dibazirkan untuk sebuah ketidakstabilan kerajaan.

Rakyat paling terkesan akibat ketidakstabilan kerajaan kerana ia menjejaskan peluang negara untuk menarik pelabur berpotensi, sekali gus merencatkan pertumbuhan ekonomi.

Orang politik mungkin tidak begitu terkesan kerana ketidakstabilan itu satu laba bagi mereka meraih seberapa banyak peluang, sama ada sebagai kerajaan mahu pun pembangkang.

Di sebalik insiden pengkhianatan itu, ia membawa kepada satu suasana meresahkan apabila rakyat sudah malas berpartisipasi dalam demokrasi, menyebabkan jumlah keluar mengundi pada dua siri Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor menurun.

Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi PRN Melaka hanya 65.85 peratus atau 326,068 daripada 495,195 pengundi, manakala PRN Johor hanya 54.92 peratus yang membuang undi.

Berbanding PRU14, rakyat Malaysia di luar negara sanggup pulang ke tanah air mengundi bagi membawa perubahan kepada pentadbiran negara tetapi suasana itu tidak berlaku pada PRN sebelum ini.

Mengambil kira pandangan beberapa penganalisis politik yang menyifatkan penurunan peratusan mengundi pada PRN tersebut dipengaruhi rasa muak dan kecewa pengundi terhadap keadaan politik tanah air seperti kata Profesor Dr Sivamurugan Pandian yang mengulas mengenai keadaan di Johor.

Bagi Pensyarah Kanan Universiti Malaya (UM), Dr Muhammad Tawfik Yaakub pula, peratusan rendah di PRN Melaka antara lain memperlihatkan sebahagian besar rakyat sebenarnya sudah bosan dan meluat dengan situasi politik semasa tanah air.

Jadi, situasi sama tidak mustahil berlaku pada PRU15 apabila majoriti turun mengundi merupakan ahli tegar parti, manakala pengundi atas pagar dan pengundi muda mengambil pendekatan tunggu serta lihat atau mungkin langsung tidak mengundi.

Jika kumpulan atas pagar dan pengundi automatik itu turun mengundi, mereka akan sangat berhati-hati dalam membuat keputusan kerana mereka perlu memilih calon kurang mudarat walaupun kitar semula.

Usaha mengembalikan keyakinan rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen di negara ini mesti dilakukan. Ia tidak cukup sekadar menggubal undang-undang anti lompat parti, sebaliknya setiap parti perlu menampilkan keikhlasan menentang pengkhianatan.

Rakyat lebih berminat dengan tawaran manifesto menjurus kepada kestabilan politik, selain calon ditampilkan mestilah berintegriti bagi mengelak pengkhianatan berulang.

Terpulanglah bagaimana parti-parti dan calon bertanding ‘menjual diri’ mereka, yang pasti pengundi semakin bijak, tidak lagi mudah terpedaya dengan janji manis semata-mata kerana mereka sudah terkena sebelum ini.

* Saifullah Ahmad ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Perak