Seleweng geran Mitra: Enam individu lagi akan dituduh

Azam menyampaikan ucapan pada Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Utara hari ini. Foto Bernama
Azam menyampaikan ucapan pada Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Utara hari ini. Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Enam lagi individu dijangka akan dihadapkan ke mahkamah selepas disyaki terbabit dalam penyelewengan geran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, kesemua individu terlibat terdiri daripada pengarah syarikat, pengerusi pertubuhan, pegawai pentadbiran syarikat dan setiausaha pertubuhan.

Menurutnya, kes penyelewengan geran peruntukan bernilai jutaan ringgit ini dianggap selesai di peringkat siasatan dan kementerian berkaitan telah bersetuju dengan cadangan yang dikemuka SPRM dalam penambahbaik pengurusan dana terbabit.

"Siasatan berhubung kes Mitra ini telah pun selesai dan hasilnya sebanyak 33 kertas siasatan telah dibuka.

"Sehingga kini, kita telah menuduh lapan orang dan kita jangka Jabatan Peguam Negara akan bersetuju untuk tuduh seramai enam orang lagi," katanya ketika sesi dialog bersama media zon utara yang diadakan di sini, pada Khamis.

Pengamal media wilayah utara bergambar bersama Azam selepas sesi dialog yang diadakan di sebuah hotel di Georgetown.
Pengamal media wilayah utara bergambar bersama Azam selepas sesi dialog yang diadakan di sebuah hotel di Georgetown.

SPRM sebelum ini meneliti geran peruntukan oleh Mitra yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan kini terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan NGO yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta.

Artikel Berkaitan:

Fasa kedua siasatan pula akan dijalankan menerusi kerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara, menerusi penubuhan sebuah jawatankuasa khas bagi memperhalusi kesahihan penggunaan geran Mitra, membabitkan peruntukan kurang daripada RM1 juta.

Berdasarkan siasatan terhadap 10 syarikat dalam fasa satu sebelum ini, didapati 80 peratus daripadanya menyalahgunakan dan menyeleweng peruntukan untuk kepentingan peribadi, berbanding tujuan asal iaitu meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India.

Sementara itu dalam perkembangan kes projek tebatan banjir yang melibatkan pegawai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azam berkata, setakat ini seramai sembilan individu telah ditahan untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu membongkar wujudnya penglibatan 'kartel' dalam projek tebatan banjir mega bernilai ratusan juta ringgit.

"Dalam tangkapan terbaru ia melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan daripada pihak berkuasa tempatan terbabit dan salah satu pegawai yang kita syaki menerima satu bentuk faedah atau benda berharga berbentuk landskaping bernilai berpuluh ribu ringgit.

"Jadi sekarang ini kita melihat bagaimana perbuatan rasuah berlaku di kalangan mereka ini termasuk bagaimana sebuah syarikat dikatakan mengawal lebih kurang 30 syarikat untuk dapatkan projek-projek tertentu daripada jabatan berkenaan," katanya.