[VIDEO] MRM bantu mangsa gangguan seksual tokoh berpengaruh

Firdaus sebagai saksi ketiga kes gangguan seksual Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.
Firdaus sebagai saksi ketiga kes gangguan seksual Ebit Lew di Mahkamah Majistret Tenom.
A
A
A

TENOM - Pendakwah, Firdaus Wong memberitahu kepada Mahkamah Majistret di sini bahawa Multiracial Reverted Muslims (MRM) menerusi sayap wanita MRM turut membantu wanita yang dizalimi termasuk gangguan seksual daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat.

Firdaus Wong atau nama sebenarnya Firdaus Wong Hai Hung, 39, berkata demikian ketika diminta menjelaskan oleh pihak pendakwaan, Nor Azizah Mohamad mengenai MRM yang diasaskannya ketika sesi perbicaraan yang memasuki hari ketiga membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

MRM sebelum ini disebut oleh saksi pertama bagi kes berkenaan iaitu Mohd Fairuz Abu, 37, bahawa dia mencadangkan kepada wanita itu (mangsa) untuk berhubung terus kepada peguam MRM.

Dalam perbicaraan itu, Firdaus diminta menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kes wanita yang dibantu sayap wanita MRM mengenai gangguan seksual dan beliau memberitahu mahkamah bahawa ia dikendalikan oleh sayap wanita MRM.

"Seperti gangguan seksual secara verbal, gangguan menerusi aplikasi telefon sama ada Telegram, WhatsApp, Facebook selain daripada itu, cabul oleh majikan, rakan sekerja, ahli keluarga, orang asing yang tidak dikenali atau daripada tokoh yang berpengaruh dalam masyarakat," katanya.

Firdaus kemudian diminta memberitahu kepada mahkamah berhubung kes gangguan seksual yang dibantu dan siapa yang telah dibantu oleh MRM.

"Antara wanita yang dibantu oleh MRM adalah pengadu yang telah mengadu kepada sahabat saya, Akhi Fairuz (Mohd Fairuz) bahawa telah menerima mesej-mesej serta gambar-gambar lucah daripada Ebit Lew," katanya.

Sebelum itu, dalam perbicaraan sebelum itu, Asisten Superintendan Salwani Mohd Hadzir sebagai saksi pendakwaan yang kedua memberitahu kepada mahkamah bahawa dia tidak mengetahui bahawa rampasan telefon bimbit yang dibuat terhadap Mohd Fairuz berkaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh wanita itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak tahu mengenai laporan polis yang dibuat oleh pengadu," katanya.

Mahkamah menangguhkan perbicaraan pada jam 4.30 petang dan disambung semula pada jam 9.30 pagi Jumaat dengan meneruskan keterangan daripada Firdaus sebagai saksi ketiga dalam kes itu.

Perbicaraan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah, Muhammad Ilmami Ahmad, Zahida, Adibah Saiful Bahri dan Nur Masrin Amalia, manakala Ebit pula diwakili barisan peguamnya yang terdiri daripada Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut, Kimberly Ye Wanchuin dan Chen Wen Jye, manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani.

Ebit berhadapan dengan 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.