Tanda tanya kehilangan Shahir lebih sebulan lalu terjawab

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Kehilangan seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak 10 Jun lalu akhirnya terungkai apabila mayatnya dikenal pasti oleh ahli keluarga di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP)lebih sebulan selepas dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, mangsa, Shahir Zainul, 46 disahkan meninggal dunia pada 11 Jun lalu akibat Sindrom Koronari Akut ketika menerima rawatan di HPP.
Menurutnya, pengecaman yang dilakukan ahli keluarga pada Jumaat mengesahkan identiti mangsa yang sebelum ini direkodkan sebagai mayat lelaki dewasa tanpa identiti di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
Beliau berkata, Shahir dilaporkan keluar dari rumahnya di Bukit Gedung, Bayan Baru kira-kira jam 5 pagi, 10 Jun lalu sebelum gagal dihubungi oleh ahli keluarganya.
“Susulan laporan kehilangan yang diterima, polis bersama agensi berkaitan telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan Jabatan Pertanian, Lebuh Bukit Jambul iaitu lokasi motosikal mangsa ditemukan.
“Bagaimanapun, operasi berkenaan ditamatkan pada hari sama selepas hasil pencarian tidak menemukan sebarang petunjuk baharu mengenai mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada 21 Jun lalu, Unit Komunikasi Korporat HPP dalam satu kenyataan akhbar memohon hebahan berhubung mayat tidak dituntut di Jabatan Perubatan Forensik, HPP.
Menerusi kiriman emel dari agensi itu, mayat lelaki dewasa tanpa identiti yang dimasukkan ke hospital berkenaan pada 10 Jun lalu telah disahkan meninggal dunia akibat Sindrom Koronari Akut, pada pukul 5.28 petang, 11 Jun lalu.
Dalam pada itu, Anuwal berkata, siasatan lanjut kemudian mendapati HPP sebelum ini telah mengeluarkan hebahan bagi mengesan waris kepada mayat seorang lelaki dewasa tanpa identiti yang ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik hospital berkenaan.
"Hasil semakan dan pengecaman yang dibuat oleh ahli keluarga akhirnya mengesahkan mayat tersebut adalah Shahir yang meninggal dunia sehari selepas dimasukkan ke HPP," ujarnya.
Beliau menambah, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung kejadian itu kerana boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Anuwal turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, pihak media serta orang awam yang menyalurkan maklumat dan memberikan kerjasama sepanjang usaha mengesan mangsa dijalankan.
Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita warga emas mengharapkan anak lelakinya pulang selepas hilang tanpa khabar berita sejak Jun lalu.
Salmah dilaporkan berkata, anak bongsu daripada dua beradik itu keluar rumah pada pukul 5 pagi, 10 Jun lalu atas alasan mahu mencari durian di sebuah dusun durian di Relau.
Salmah Shamsudin, 72 berkata, sejak itu anaknya langsung tidak pulang hingga membuatkan dua anak mangsa berusia 13 dan 15 tahun terlalu merinduinya.
Susulan daripada itu, polis dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang telah melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa terbabit yang dilaporkan hilang di dusun durian, Lebuh Bukit Jambul pada jam 10.30 pagi Jumaat.
Bagaimanapun, operasi SAR telah ditamatkan pada jam 12 tengah hari kerana tiada sebarang petunjuk berhubung lokasi keberadaan mangsa di kawasan berkenaan.
Ends.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

