Lelaki didenda RM43,000 guna logo halal tidak diiktiraf

Pada 25 Januari tahun lalu, KPDNHEP Selangor berjaya mengesan kes pengimport daging lembu sejuk beku menggunakan logo halal dari luar negara dan tulisan halal yang diragui.
Pada 25 Januari tahun lalu, KPDNHEP Selangor berjaya mengesan kes pengimport daging lembu sejuk beku menggunakan logo halal dari luar negara dan tulisan halal yang diragui.
A
A
A

SHAH ALAM - [KEMAS KINI] Seorang lelaki berusia 30-an didenda RM43,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana menggunakan logo halal yang tidak diiktiraf pada daging sejuk beku, Januari tahun lalu.

Lelaki itu selaku orang kena saman (OKS) dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara 15 bulan jika gagal membayar denda tersebut. Dia didakwa mengikut Perenggan 8(b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejumlah 1,672 barang kes bernilai lebih RM500,000 yang dipertuduhkan telah dilupuskan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Nurul ‘Ain Shafie.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pada 25 Januari tahun lalu, pihaknya berjaya mengesan kes pengimport daging sejuk beku (daging lembu) menggunakan logo halal dari luar negara dan tulisan halal yang diragui.

“Serbuan dibuat bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), polis Selangor dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di premis sekitar Pulau Indah, di sini, namun tiada pemilik atau pekerja ditemui.

Artikel Berkaitan:

“Satu tindakan diambil bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan hasil siasatan telah membawa kepada pengesyoran orang yang disiasat (OYDS) untuk dipertuduhkan di mahkamah di bawah Akta Perihal Dagangan 2019,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Beliau berkata, mereka akan menjalankan pemeriksaan dengan agensi lain khususnya berkaitan dalam isu keselamatan dan pemeriksaan melibatkan makanan.

Malah beliau menegaskan, agensi ini bertindak tegas dan tidak berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya melibatkan perakuan dan penandaan halal selain ia merupakan antara salah satu kepentingan awam.