Tunku Azizah gembira kejayaan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra bersama kanak-kanak yang memperagakan fesyen busana tradisional termasuk songket dan tenun Pahang selepas Majlis Santapan Malam sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan beramah mesra bersama kanak-kanak yang memperagakan fesyen busana tradisional termasuk songket dan tenun Pahang selepas Majlis Santapan Malam sempena Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 di Istana Negara pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah merakamkan penghargaan terhadap usaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8, selama enam hari yang menutup tirainya pada Khamis.

"Kepada ahli jawatankuasa yang telah berusaha dan bekerja sebagai satu pasukan, dari lubuk hati yang penuh ikhlas, beta mengucapkan terima kasih kepada mereka. Hari ini, kita harus meraikan kejayaan rancangan selama lima bulan acara itu.

"Terima kasih atas kerja keras anda bagi menjayakan acara ini," titah baginda pada majlis penutupan simposium itu di sini pada Khamis.

Bertemakan "Celebrating Textiles: A Journey", simposium anjuran Yayasan Tenun Pahang Diraja itu mempamerkan keindahan tekstil Malaysia termasuk songket dan batik, serta teknik pembuatan tekstil seperti tekat, tenun, telepuk dan menggerus untuk dipelajari oleh masyarakat dunia.

Simposium dwitahunan itu dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin.

Tunku Azizah turut menzahirkan terima kasih kepada Singapura kerana membuka jalan kepada Malaysia mengadakan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN ke-8.

"Sebenarnya, Singapura sepatutnya menjadi tuan rumah, tetapi beta memohon kepada Singapura untuk memberi laluan kepada Malaysia,” titah Tunku Azizah sambil menambah acara itu pada mulanya dirancang untuk diadakan tahun lepas tetapi ia ditangguhkan kerana pandemik Covid-19.

Sempena majlis penutup itu, Tunku Azizah menyerahkan bendera simposium secara simbolik kepada tuan rumah seterusnya iaitu Laos yang diwakili Duangmala Phommavong untuk simposium tekstil tradisional pada 2024.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Phommavong mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan menganjurkan simposium edisi ke-8 itu dan berkata, beliau memperoleh pengalaman menerusi keunikan dan kepelbagaian seni, budaya serta etnik di Malaysia.

"Saya telah mempelajari banyak mengenai tekstil Malaysia serta persembahan kebudayaan," katanya sambil menyampaikan jemputan kepada perwakilan untuk menghadiri simposium di Laos. - Bernama